Penjawat awam tak mengaku pecah cermin kereta wanita

Iklan
Mohd Nasir (tengah) dikawal polis ketika menuju ke bilik Mahkamah Majistret pada Khamis.

KOTA BHARU - Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas tuduhan mendatangkan ketakutan dan khianat dengan memecahkan cermin kereta seorang wanita pada minggu lalu.

Tertuduh, Mohd Nasir Husain, 45, didakwa di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mendatangkan ketakutan kepada wanita yang berusia 35 tahun itu dengan cara mengetuk cermin kereta mangsa menggunakan sebilah senjata tajam iaitu 'scapper' hingga berlubang dan retak.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di persimpangan lampu isyarat di Limbat, Kubang Kerian di sini pada jam 5.45 petang, 28 Julai lalu.

Iklan

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan cermin kereta jenis Perodua Axia milik mangsa yang sama dengan menggunakan senjata tajam 'scapper' pada masa, tarikh dan di lokasi sama.

Iklan

Bagi tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Erdabayu Subhan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kelantan (YBGK), Ariayani Mohd Aamin.

Pada prosiding itu, Siti Erdabayu memohon tarikh sebutan semula untuk pengurusan kes dan menawarkan jaminan RM5,000, namun Ariayani bagi pihak tertuduh merayu supaya jaminan itu dikurangkan kerana lelaki hanya berpendapatan RM1,500 sebulan sebagai pekerja penyelenggaraan sebuah hospital.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 September depan.

Sebelum ini, tular di media sosial sejak Sabtu lalu, rakaman video berdurasi dua minit 16 saat yang memaparkan seorang lelaki memberhentikan kereta jenis Toyota Vios di simpang jalan dan pergi ke arah kereta jenis Perodua Axia yang berhenti di belakang keretanya.

Dalam kejadian jam 5.45 petang Khamis lalu itu, suspek kemudiannya bertindak mengetuk menggunakan senjata tajam ke arah cermin kereta mangsa hingga pecah selain turut berkata-kata ugutan.