PETALING JAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjalankan siasatan lanjut mengenai dakwaan satu kajian yang mengkategorikan nelayan Vietnam sebagai angkatan laut atau militia yang terlatih dan dibentuk sebagai pasukan nelayan profesional.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, siasatan sentiasa dijalankan ke atas segala tohmahan dan apa yang berlaku.
"Jika ada kesalahan yang dilakukan mana-mana pihak kita akan tangkap dan sekiranya dikesan terdapat bukti seperti yang dimaklumkan dan masalah antara dua negara, pihaknya akan membincangkan dengan negara terbabit.
"Tapi jika kesalahan itu adalah melibatkan individu tertentu sama ada dia warga luar atau dalam, kita akan gunakan undang-undang yang ada," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Pemerdagangan Orang Sedunia di Rumah Perlindungan Wanita Zon Tengah di Sri Damansara di sini pada Khamis.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Penganalisis Pertahanan, Zaki Salleh berkata, memetik kajian National Institute for South China Sea Studies (NISCS) iaitu organisasi penyelidikan China yang berpangkalan di Hainan, para penganalisisnya mengkategorikan nelayan Vietnam sebagai angkatan laut atau militia yang terlatih dan dibentuk sebagai pasukan nelayan profesional.
Ini kerana angkatan nelayan penting sebagai salah satu penyumbang pada hasil makanan negara berkenaan selain sumbangan ekonomi.
Kajian NISCS pula menganggarkan militia nelayan Vietnam semakin membesar berbanding 12 tahun lalu dengan anggaran antara 46,000 hingga 70,000 orang yang dibahagikan mengikut wilayah operasi masing-masing.
Sebelum itu, Sinar Harian telah melaporkan pendedahan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkenaan nelayan asing kini semakin berani apabila mereka menggunakan taktik ala gerila untuk berhadapan dengan pihak berkuasa.