SEREMBAN - Meskipun terpaksa bergantung dengan lampu telefon bimbit untuk membaca al-Quran, namun ia tidak menjadi penghalang buat seorang ibu tunggal untuk meneruskan rutinnya itu.
Kegigihan Padilah Mustafa, 57, yang tinggal di Flat Taman Sri Mawar di sini terbukti apabila dia mampu khatam al-Quran dua kali tahun lalu.
Menurutnya, dia terpaksa menjadikan lampu telefon bimbit sebagai alat bantuan untuk membaca al-Quran sejak matanya kabur akibat kencing manis.
"Saya mula menghidap penyakit kencing manis sejak 30 tahun lalu, namun keadaan mata mula kabur lima tahun lalu.
"Saya dah buat pembedahan mata sebelah kiri pada April lalu, tapi tiada apa-apa perubahan dan sebab itu saya kena guna lampu telefon bimbit untuk 'menyuluh' ayat al-Quran walaupun dalam keadaan terang," katanya.
Jelasnya, dia menggunakan lampu telefon bimbit kerana ia lebih mudah selain alat komunikasi itu sentiasa ada di sisinya.
Katanya, sebelum ini dia akan ke surau untuk membaca al-Quran bersama rakan-rakannya namun kini tidak lagi berbuat demikian sejak keadaan kesihatan tidak menentu.
"Di surau, ada ustazah tolong tengokkan bacaan. Saya nak pergi surau, tapi mata dah tak berapa nampak, susah nak berjalan keluar.
"Sedih juga, tapi itu ujian saya. Walaupun begitu, saya akan tetap baca al-Quran setiap hari kerana merasakan hidup saya tidak lengkap jika tidak membacanya," katanya kepada Sinar Harian selepas menerima kunjungan daripada Persatuan Cakna Rasa Sayang (PCRS) di rumahnya.
Selain itu Padilah turut disahkan menghidap sakit jantung pada April lalu.
Katanya, ada ketikanya dia sukar untuk bernafas dan kini menunggu rawatan susulan di Hospital Tuanku Jaafar Oktober ini.
Bagi meneruskan hidup, Padilah berkata, dia bergantung harap dengan dua anak lelakinya dengan yang bongsu berusia 28 tahun tinggal bersamanya.
"Yang sulung berusia 32 tahun sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak. Isterinya juga tak sihat kerana ada ketumbuhan dalam perut.
"Bagaimanapun, Alhamdulillah rumah dah habis bayar. Cuma sekarang ini perlu fikir kos perubatan saja," katanya.
Sementara itu Penaung PCRS, Zulkifli Muhamed berkata, warga emas berkenaan dikategorikan sebagai asnaf dan bermula bulan ini akan menerima bantuan daripada Baitumal.
"Kita juga akan menyediakan khidmat teksi percuma buat wanita ini bagi memudahkannya ke hospital membuat rawatan susulan.
"Apa yang membanggakan ialah kesungguhan wanita ini untuk terus membaca al-Quran walaupun terpaksa menggunakan lampu telefon bimbit," katanya.