Pelajar Malaysia diingat tak terpengaruh ideologi antipenubuhan

Iklan
Mahdzir

KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengingatkan pelajar Malaysia di luar negara agar tidak terpengaruh dengan fahaman dan ideologi bersifat antikerajaan dan antipenubuhan.

"Apabila kita sambung pengajian di luar negara, akan ada banyak fahaman, ideologi dan maklumat. Ada juga dalam kalangan pelajar sampai ke luar negara terpengaruh dengan fahaman tertentu yang akhirnya berada dalam kumpulan antipenubuhan dan antikerajaan.

Iklan
Iklan

"Kita tidak mahu pelajar kita terpengaruh yang akhirnya mereka sendiri memburukkan dan mengutuk negara sendiri seolah-olah negara luar lebih baik dan sebagainya... saya ingatkan para pelajar supaya ingatan ini kekal dalam fikiran mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Program Prapelepasan Pelajar Tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) ke Luar Negara hari ini.

Iklan

Beliau berkata, fahaman dan ideologi asing ini adakalanya berselindung di sebalik badan bukan kerajaan berkaitan alam sekitar, perubahan iklim dan sebagainya bagi mengaburi kegiatan sebenar mereka.

Mahdzir berkata, pelajar tajaan Mara adalah duta kecil membawa nama Malaysia ke luar negara dan seharusnya mempersiapkan jati diri yang kuat selain motivasi diri tinggi untuk hidup di negara orang.

Iklan

"Pelajar mesti pergi dengan jati diri dan keazaman tinggi, ingatan kuat pada negara dan ibu bapa, kenal asal usul dan bertekad untuk menamatkan pengajian.

"Berada di tempat orang kena ada ilmu survival dan semangat juga kena kuat, di samping cerdik dalam pengajian mereka juga perlu cerdik dalam kehidupan,” katanya.

Sebanyak 1,246 pelajar tajaan Mara melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana di luar negara antaranya Amerika Syarikat, Australia, Rusia dan India.

Kesemua mereka akan bergerak secara berperingkat mulai bulan depan. - Bernama