PGA rampas 12 ekor anjing seludup 'kayangan'

Iklan
Muhamad Zaki (dua dari kanan) menunjukkan anjing seludup berstatus kayangan bernilai ribuan ringgit seekor yang berjaya dirampas oleh Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa di Bukit Bunga, Tanah Merah pada Selasa.

KOTA BHARU - Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa merampas 12 ekor anjing seludup berstatus 'kayangan' yang bernilai ribuan ringgit seekor dalam serbuan di Bukit Bunga, Tanah Merah pada Selasa.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, rampasan keseluruhan anjing jenis baka Cyprus Poodle dan Pomeranian itu dianggarkan bernilai RM96,000.

Iklan
Iklan

"Bertindak atas maklumat, pada jam 12 tengah hari PGA membuat intipan di pangkalan haram Jali, Kampung Jenub dan mendapati sebuah perahu dari arah Thailand sedang membawa beberapa bakul ke arah tebing sungai.

"Sebaik tiba, beberapa lelaki memunggah bakul-bakul tersebut ke dalam sebuah kenderaan yang sedang menunggu di kawasan parkir pangkalan haram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, anggota bertugas bertindak menyerbu lokasi berkenaan dan menahan pemandu kenderaan berusia 59 tahun.

'Bagaimanapun yang lain berjaya melarikan diri," katanya.

Iklan

Muhamad Zaki berkata, hasil pemeriksaan di bahagian tempat duduk kenderaan tersebut telah menjumpai lima sangkar plastik yang mengandungi empat ekor anjing jantan dan lapan ekor anjing betina.

"Kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) untuk siasatan dibawah seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) 2011," katanya.