Pulau Pinang batal cadangan bina asrama pekerja asing

Iklan
Ahmad Zakiyuddin - Foto Bernama

GEORGETOWN - Cadangan membina Asrama Kakitangan Berpusat (CLQ) di Taman Perindustrian Pulau Pinang yang terletak di Bertam, Kepala Batas tidak akan diteruskan setelah mengambil kira pandangan pihak berkepentingan.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat oleh pihak pemaju iaitu Lestari Duta Sdn Bhd setelah mengadakan perbincangan dengan penduduk sekitar dan jabatan-jabatan teknikal yang terlibat.

Iklan
Iklan

"Pemaju telah bersetuju untuk membatalkan asrama warga asing seperti yang terkandung dalam pelan terdahulu.

"Pemaju juga akan memfokuskan pembinaan kilang berteknologi tinggi dengan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh jabatan-jabatan teknikal dan juga pihak berkuasa tempatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Iklan

Beliau berkata, pihak pemaju kini dalam proses menawarkan pelbagai saiz lot industri kepada pelabur dan keperluan untuk membina asrama penempatan pekerja belum lagi diketahui.

Katanya, pihak industri sepatutnya menguruskan keperluan penempatan kakitangan sekiranya memerlukan pekerja yang ramai.

Iklan

Ahmad Zakiyuddin, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pemantau Penang Technology Park berkata, beliau akan terus memantau perlaksanaan projek itu bagi memastikan ia dapat memenuhi hasrat kerajaan negeri.

"Kawasan industri memainkan peranan penting dalam menawarkan pekerjaan terutamanya di kawasan yang penduduknya berpendapatan rendah. Kawasan industri seperti ini dapat menawarkan pekerjaan yang berpendapatan tinggi kepada penduduk tempatan,” katanya. - Bernama