DI SEBALIK ketokohannya sebagai legenda badminton negara, mendiang Datuk Ng Boon Bee memiliki sifat penyayang yang tinggi apabila menganggap anak angkatnya, seorang pemuda Melayu tidak ubah seperti anak sendiri.
Mendiang yang meninggal dunia pada Rabu di usia 84 tahun itu juga menyifatkan anak angkatnya, Ahmad Firdaus Ahmad Jaffar sebagai pengganti kepada anak kandungnya, Thomas yang meninggal dunia tahun lalu.
Ahmad Firdaus, 39, ketika ditemui berkata, keluarganya bersama mendiang mempunyai hubungan rapat sejak dia kecil lagi dan berkekalan sehingga kini.
Malah menurutnya, keprihatinan mendiang terhadap keluarganya juga begitu besar hingga sanggup membantu membiayai pembelajarannya dari sekolah sehingga ke peringkat universiti.
"Keakraban kami memang tak ubah seperti ayah dan anak, saya sendiri pun panggil mendiang daddy dan isterinya, mummy.
"Bila anak lelakinya meninggal dunia tahun lepas, mendiang katakan yang dia sudah tiada orang lain di sini, hanya ada saya sebagai anak lelakinya," katanya ketika ditemui di kediaman mendiang di Jalan Sri Klebang 2, Chemor di sini pada Khamis.
Ahmad Firdaus yang bekerja di sebuah firma guaman di sini berkata, banyak kenangan manis yang dirakam bersama sepanjang hayat mendiang.
Katanya, paling membahagiakan apabila mendiang dan isteri sangat suka makan masakannya.
"Selalu kalau habis kerja, memang saya akan balik ke sini, duduk bersembang dengan mendiang dan masak masakan kegemarannya," katanya.
Boon Bee menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada jam 4 petang disebabkan ‘aneurisme’.
Beliau meninggalkan balu, Datin Tong Yee Cheng yang juga bekas pemain badminton dan anak perempuan, Gillian Ng, 51.
Seorang lagi anak mendiang, Thomas, yang diberi nama sempena kejuaraan Piala Thomas dijulangnya pada 1967 telah meninggal dunia pada usia 54 tahun, tahun lalu.
Boon Bee mewakili era emas badminton sekitar 1960-an dan 70-an dan menyinar dalam acara lelaki dan beregu campuran antara 1960 dan 1973 dengan memenangi 17 pingat emas dalam pelbagai kejuaraan utama.
Boon Bee dan pasangannya dalam beregu lelaki, Datuk Tan Yee Khan adalah anggota penting pasukan Piala Thomas 1967 yang menumbangkan juara Indonesia dalam final di Jakarta.
Bersama Yee Khan, beliau turut menguasai pentas antarabangsa sekitar 1960-an di mana mereka muncul sebagai juara All England pada 1965 dan 1966. Boon Bee kemudiannya bergandingan dengan mendiang Datuk Punch Gunalan untuk memenangi gelaran All England 1971.