Vape bernilai RM792,000 gagal diseludup

Iklan
Suspek bertindak melarikan diri dan meninggalkan kereta yang sarat dengan vape di tepi jalan di Kampung Pasir Putih, Chabang Empat, Tumpat.

KOTA BHARU - Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa menggagalkan cubaan menyeludup vape bernilai RM792,000 ke negara jiran pada Selasa.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, rampasan tersebut melibatkan 9,600 kotak pod cecair vape pelbagai jenama dan perisa serta 240 botol cecair vape.

Iklan
Iklan

"Semasa melakukan rondaan rutin di kawasan Chabang Empat, Tumpat, anggota bertugas mengesan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota menghampiri dan mengarahkan pemandu untuk berhenti, namun suspek bertindak memecut laju ke arah Neting, Pengkalan Kubor," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, anggota unit kereta peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat yang secara kebetulan berada di lokasi telah bertindak mengejar kenderaan tersebut sehingga ke Kampung Pasir Putih, Chabang Empat.

Beliau berkata, suspek kemudian bertindak melarikan diri dan meninggalkan kereta yang dipenuhi dengan vape itu di tepi jalan.

Iklan

"Hasil pemeriksaan pada bahagian penumpang belakang dan tempat simpanan barang bahagian belakang didapati terdapat kotak-kotak berisi pod cecair vape.

"Kesemua barangan rampasan diserahkan pada Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) untuk disiasat bawah Seksyen 9 Akta Racun 1952," katanya.