SEREMBAN - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji untuk membawa lebih banyak limpahan pembangunan ke DUN Rantau sekiranya PH memenangi PRK pada 13 April nanti.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau ketika ini sedang giat menarik pelabur asing untuk membuat pelaburan di kawasan yang dipimpinnya itu.
"Saya telah mengadakan perbincangan dan lawatan ke beberapa negara untuk menarik syarikat asing melabur di Port Dickson.
"Rantau hanya terletak di sebelah Port Dickson. Jadi kalau PH menang PRK kali ini saya akan pastikan pembangunan akan sampai ke sini (Rantau)," katanya ketika berucap pada Program Bersama Masyarakat India di Taman Sri Ramai, Kuala Sawah, di sini, malam tadi.
Menurutnya lagi, dengan adanya limpahan pembangunan itu nanti penduduk tempatan tidak perlu lagi keluar ke kawasan lain untuk mencari pekerjaan.
Sementara itu, Anwar turut menyeru agar pengundi DUN Rantau memberi peluang kepada calon PH, Dr S Streram untuk menjadi wakil rakyat di DUN berkenaan.
Katanya, ia bagi membolehkan lebih banyak masalah rakyat dapat ditangani dengan baik oleh kerajaan yang memerintah ketika ini.
"Kerajaan negeri dan pusat bukan lagi UMNO. Jadi mereka tidak boleh lakukan apa-apa," katanya.