KUALA LUMPUR - Dua anggota trafik yang mengiringi anak seorang ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menggunakan motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikenakan tindakan tatatertib.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan itu diambil di bawah Peraturan 36 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Iklan
Iklan
"Polis Pulau Pinang telah membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) ke atas dua anggota trafik kerana mengiringi individu dipercayai anak lelaki kepada ahli Parlimen BN menggunakan motosikal PDRM di Jalan Bukit Gambir, Georgetown.
"PDRM juga telah menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu setelah rakaman video berdurasi 20 saat tular di media sosial sejak 7 Mei 2022,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Sim Chee Keong (PH-Bukit Mertajam) di Dewan Rakyat.
Klip video mengenai kejadian yang tular di media sosial sejak 7 Mei lalu itu menunjukkan kedua-dua anggota polis berkenaan mengiringi sebuah kenderaan yang dimiliki oleh orang awam.