Gerakan Tanah Air gagasan baharu orang Melayu, Islam

Iklan
Dr Mahathir (duduk, tengah) pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini pada Khamis.

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan gagasan baharu berteraskan agenda Melayu dan Islam dikenali sebagai Gerakan Tanah Air (GTA) pada Khamis.

Dr Mahathir berkata, nama itu dipilih kerana ia gambaran suatu perjuangan yang cintakan tanah air.

Menurutnya, gerakan tersebut terdiri daripada parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), profesional dan ahli perseorangan.

Iklan
Iklan

"GTA mengalu-mengalukan penyertaan daripada orang Melayu yang merupakan kaum terbesar di negara ini.

"Orang Melayu percaya mereka memerlukan satu pilihan politik yang lebih baik untuk menguruskan pelbagai masalah yang dihadapi negara.

Iklan

"Atas dasar itu pada hari ini kita telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah gabungan politik orang Melayu yang kami namakan Gerakan Tanah Air," katanya pada sidang akhbar di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini pada Khamis.

Dr Mahathir berkata, jurang antara Melayu dan kaum lain sangat jauh khususnya mereka yang tinggal di bandar.

Iklan

"Mereka terpaksa jual tanah dan berundur di kampung yang mana bandar diduduki oleh kaum lain yang lebih selesa berbanding di luar bandar," katanya.

Ujarnya, situasi itu tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia memisahkan kedudukan Melayu dan kaum lain.

"Pemisahan kaum ini suatu yang tidak sihat dan akhirnya iklim politik negara kita menjadi tegang," katanya.

GTA dipengerusikan oleh Dr Mahathir selaku Pengerusi Penaja manakala empat presiden parti di bawah GTA dilantik menjadi Timbalan Pengerusi.

Ia terdiri daripada Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Zamani Ibrahim; Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali; Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.

Beliau berkata, Ketua Setiausaha GTA yang dilantik adalah Datuk Marzuki Yahya.

"Naib-naib pengerusi, bendahari, ketua penerangan akan dinamakan semula selepas lebih banyak NGO menyertai GTA kerana kita mahu beri peluang kepada mereka," katanya.