SHAH ALAM - Kontraktor serta dua pekerja terlibat dalam kerja pengubahsuaian rumah bekas pembaca berita sebuah stesen televisyen, Zalina Shaharah Azman atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman yang dipercayai hilang sejak November tahun lalu didapati tiada kaitan dengan kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan dijalankan mendapati kerja pengubahsuaian rumah Zalina dilakukan sebelum kehilangannya.
"Siasatan dijalankan berdasarkan keterangan diambil daripada kontraktor dan dua pekerja yang terlibat dalam pengubahsuaian rumah bekas pembaca berita itu.
"Kesemua mereka yang terlibat didapati melakukan kerja-kerja pengubahsuaian pada 2019," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini pada Khamis.
Katanya, kerja pengubahsuaian rumah Zalina dilakukan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Ia dijalankan secara berperingkat bermula dengan kerja pendawaian, studio untuk galeri, tempat memasak dan rakaman.
"Dua transaksi telah dilakukan Zalina dengan pembayaran sebanyak RM260,000, kali terakhir pembayaran dibuat pada Ogos 2021," katanya.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 20 individu telah diambil keterangan sejak kehilangan Zalina.
"Polis sebelum ini melakukan penggeledahan sebanyak tiga kali di rumah Zalina bagi memastikan tiada bukti yang tertinggal.
"Sebuah komputer riba dan beberapa dokumen telah diambil pada 28 Julai lalu untuk dianalisa selain pemeriksaan menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9)," katanya.
Terdahulu, IPD Shah Alam mengeluarkan hebahan mengenai kehilangan Zalina pada Julai lalu.
Mohd Iqbal berkata, laporan berkaitan kehilangan dibuat anak mangsa yang mendakwa gagal menghubungi ibunya sejak 24 November 2021.