LUMUT - Polis mengesahkan video tular memaparkan seorang lelaki didapati mengeluarkan kata-kata ugutan sambil memegang sebilah parang di Pantai Remis di sini, adalah kejadian lama.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, tindakan telah diambil terhadap suspek berusia 50-an itu setelah menerima laporan daripada ibu saudaranya.
Menurutnya, dalam kejadian pada 9 April itu, wanita terbabit didatangi suspek yang memegang parang dan membawa tong disyaki berisi minyak petrol.
"Suspek mengugut mahu melibas dan memenggal kepala mangsa serta akan membakar rumah yang sedang dibina.
"Suspek mendakwa tanah berkenaan adalah miliknya sedangkan dalam akuan geran tanah berkenaan tidak terdapat namanya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Nor Omar berkata, suspek yang ditahan pada 21 Jun lalu mengakui dia bertindak demikian kerana tidak berpuas hati berkenaan pemilikan tanah tersebut.
"Semakan lanjut mendapati suspek bekerja sendiri dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
"Suspek diberikan jaminan polis dan kertas siasatan telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya (TPR) pada 25 Julai lalu namun masih terdapat beberapa arahan lanjut perlu dilengkapkan," katanya.
Tambah beliau, kertas siasatan akan dirujuk semula kepada TPR sebelum pertuduhan dilakukan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.