SEKURANG- kurangnya satu pingat emas dalam genggaman skuad badminton Malaysia pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2022 menerusi acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal).
Ia berikutan final acara itu di Edutorium Universiti Muhammadiyah Surakarta (UMS) esok, bakal menyaksikan pertembungan antara juara Paralimpik Tokyo 2020 Cheah Liek Hou menentang bekas gandingan beregunya, Mohamad Faris Ahmad Azri.
Pemain nombor satu dunia Liek Hou, yang turun menentang musuh tradisinya Dheva Anrimusthi pada separuh akhir pada Khamis, menyingkirkan wakil tuan rumah itu 21-19, 21-12 di hadapan ratusan penyokong sendiri.
Mohamad Faris pula membelasah satu lagi pemain pilihan Indonesia, Suryo Nugroho 21-11, 21-10 untuk meraih tiket final sulungnya di APG.
Namun, nasib tidak menyebelahi Liek Hou dan gandingan baharunya, Muhammad Fareez Anuar yang kecundang 19-21, 21-15, 19-21 di tangan pasangan Indonesia Oddie Kurnia Dwi Listianto Putra-Suryo Nugroho selepas pertembungan sengit dalam aksi separuh akhir beregu lelaki.
"Aksi menentang Dheva tadi, saya main agak berhati-hati dulu pada set pertama untuk menilai prestasinya dan angin dari arah mana. Kemudian pada set kedua, saya dah dapat keyakinan untuk melakukan pukulan yang lebih terbuka, manakala dia masih bermain dengan berhati-hati dan agak kurang lancar.
"Bagi aksi beregu pula, kami sudah cuba kawal perlawanan, tetapi angin terlalu kuat dan mereka juga agak bernasib baik. Untuk esok, saya tak akan senang diri dan bagi peluang, saya akan main seperti kondisi perseorangan tadi," kata Liek Hou, yang juga merupakan juara bertahan acara perseorangan.
Liek Hou memenangi pingat emas perseorangan pada edisi KL 2017 dan gelaran beregu lelaki pada edisi Singapura 2015, tambahan kepada dua perak dan satu gangsa APG.
Satu lagi wakil negara di separuh akhir beregu lelaki SU5, Mohamad Faris-Mohd Amin Burhanuddin turut terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa, apabila dijinakkan oleh Suryo-Hafizh Briliansyah Prawiranegara 15-21, 9-21.
Sementara itu, Muhammad Ikhwan Ramli beraksi cemerlang untuk mengesahkan tiket ke final acara perseorangan lelaki WH1 (berkerusi roda) dan beregu lelaki WH1-WH2.
Beliau menewaskan Sriboran Anuwat dari Thailand 21-14, 21-15 hari ini, untuk bertemu dengan seorang lagi wakil Thailand, Kornpeekanok Chatchai pada final perseorangan esok.
Bagi acara beregu pula, gandingan Muhammad Ikhwan-Noor Azwan Noorlan mengatasi Kornpeekanok-Aphichat Sumpradit 21-12, 21-10 untuk bertemu wakil tuan rumah Agung Widodo-Supriadi Supriadi esok. - Bernama