KUALA LUMPUR - Kenyataan Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) berkenaan pembelian dua buah hartanah di London, United Kingdom adalah tidak tepat dan merupakan isu yang pernah dibangkitkan pada 2017.
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam kenyataan pada Khamis menjelaskan kenyataan GWGF secara jelas mengemukakan fakta yang salah dengan menyebut pembelian kondominium mewah oleh FGV Holdings Berhad (FGV) walaupun sebenarnya merujuk kepada hotel yang dibeli oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).
GWGF dalam kenyataan pada Rabu telah meminta Felda menjelaskan pembelian itu yang disifatkan sebagai satu pembaziran dan tidak menguntungkan peneroka Felda.
Menurut kenyataan itu, penjelasan berkenaan pembelian kedua-dua hotel tersebut iaitu Grand Plaza Kensington dan Felda House telah pun dibentangkan dalam Kertas Putih Felda yang merangkumi skop audit forensik pada April 2019 seperti siasatan oleh Ernst & Young.
"Kertas Putih Felda ini juga adalah dokumen rasmi yang boleh diakses oleh orang awam. Perkara ini juga sedang dalam siasatan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan satu laporan rasmi juga telah dibuat pada tahun 2019 oleh Felda kepada UK Serious Fraud Office untuk tindakan lanjut pihak berkuasa,” kata kenyataan itu.
Felda juga memaklumkan sehingga kini, Grand Plaza Kensington dan Felda House masing-masing masih beroperasi dengan purata kadar penghunian melebihi 65 peratus dan kadar penghunian penginapan pelajar juga dijangka mencapai 98 peratus bagi tahun 2023.
"Felda menerima dengan baik usaha-usaha individu dan juga NGO (badan bukan kerajaan) yang membawa suara warga Felda tetapi usaha ini perlulah didasari niat yang ikhlas. Membawa isu-isu lapuk yang telahpun dijelaskan sebelum ini membuktikan ketidakpekaan GWGF terhadap perkembangan Felda dan warganya,” kata kenyataan itu. - Bernama