TUAH 'kolam emas' di Sukan Para ASEAN (APG) 2022 di Solo, terus berpihak kepada kontinjen Malaysia sebagai penyumbang utama pingat emas pada hari kelima temasya.
Kem renang terus cemerlang di Pusat Renang Jatidiri, Semarang, apabila menyambar emas dalam kesemua lima acara yang disertai, selain dua rekod kejohanan berjaya dipecahkan.
Pemburuan emas Malaysia bermula dengan Ethan Yin Jun Khoo yang memecahkan rekod acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki S14 (masalah intelektual), manakala perenang Paralimpik Tokyo 2020, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli turut mengatasi rekod 50m gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal).
Brenda Anellia Larry merangkul emas acara 100m kuak dada wanita SB4 (kecacatan fizikal), Fraidden Dawan memenangi acara 200m rampaian individu lelaki SM10 (kecacatan fizikal) manakala Lee Kher Zy (3:42s) menang emas acara 200m rampaian individu lelaki SM5 (kecacatan fizikal).
Aksi di Stadium Manahan, venue bagi acara trek dan padang menyaksikan Muhamad Ashraf Mohamad Haisham melengkapkan hatrik emas acara 800m T46 (kecacatan anggota), selepas kejayaan di Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017.
Malaysia turut meraih perak acara perseorangan lelaki tenis berkerusi roda menerusi Mohd Yusshazwan Yusuf, serta acara memanah compound individu lelaki menerusi G. Deneshan, selepas kedua-duanya tewas pada aksi final.
Saingan separuh akhir perseorangan lelaki SU5 badminton di Edutorium Universiti Muhammadiyah Surakarta (UMS) menyaksikan juara Paralimpik Cheah Liek Hou, menyingkirkan musuhnya Dheva Anrimusthi di depan penyokong sendiri.
Seorang lagi pemain negara Mohamad Faris Ahmad Azri membelasah Suryo Nugroho, juga dari Indonesia untuk memastikan emas dan perak acara berkenaan menjadi milik Malaysia pada final esok.
Tumpuan juga diberikan kepada Muhammad Ikhwan Ramli yang akan berjuang dalam final acara perseorangan lelaki WH1 (berkerusi roda) dan beregu lelaki WH1-WH2 dengan gandingan Noor Azwan Noorlan.
Perenang negara akan beraksi dalam tiga acara di 'kolam emas' Pusat Renang Jatidiri esok, dengan dua acara diletakkan sebagai prospek emas, manakala pemanah compound akan beraksi dalam final acara berpasukan lelaki dan campuran.
Badang negara yang akan beraksi dalam tiga acara final powerlifting esok, diharap untuk 'mengangkat' dua pingat emas.
Setakat ini, kontinjen Malaysia gah dengan 24 pingat emas, 14 perak dan tujuh gangsa. - Bernama