Pinda enakmen negeri selepas RUU Anti Lompat Parti diwartakan

Iklan
Ahmad Maslan ketika sidang akhbar selepas mesyuarat MKT yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Negeri-negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) perlu meminda undang-undang tubuh/enakmen negeri masing-masing setelah Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan larangan lompat parti diwartakan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah itu perlu bagi memastikan undang-undang berkenaan dapat dikuatkuasakan pada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata, UMNO juga akan berbincang dengan Penasihat Undang-Undang UMNO apakah perlembagaan parti, fasal yang perlu dipinda selaras dengan pindaan tersebut.

"Pindaan Perlembagaan UMNO kemungkinan juga akan dibuat sekali lagi tetapi kita ingin dapat nasihat daripada Penasihat Undang -Undang UMNO terlebih dahulu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn di sini pada Khamis.

Tambahnya lagi, jentera parti di semua peringkat beri tumpuan kepada kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bila pun tarikhnya yang akan ditentukan.

Dalam pada itu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Khamis memutuskan tidak ada pemilihan jawatan dalam Persidangan Cawangan, Mesyuarat Perwakilan Bahagian dan Perhimpunan Agung yang dijangka berlangsung pada Ogos hingga November tahun ini.

Ahmad Maslan berkata, mesyuarat MKT yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menetapkan Persidangan UMNO Cawangan adalah pada 15 Ogos hingga 18 September ini.

Beliau berkata, bagi Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO, Pemuda dan Puteri Bahagian akan diadakan pada 7,8 dan 9 Oktober diikuti Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian 14, 15 dan 16 Oktober.

"Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula dijangka akan diadakan pada 23 hingga 26 November,” katanya.

Beliau berkata, MKT memperakukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dengan sedikit pindaan terhadap Perlembagaan UMNO yang berkuatkuasa mulai 29 Julai 2022.

"MKT merakamkan ucapan terima kasih atas kelulusan yang diberikan itu,” katanya.

Iklan
Iklan