KUANTAN - Nelayan Pahang mengakui sudah lali dengan aktiviti pencerobohan yang mencuri sumber protein di perairan negara ini.
Bahkan, mereka mengakui sering berdepan dengan nelayan asing yang agresif dan tidak pernah berasa bersalah menceroboh perairan negara ini.
Sinar Harian dimaklumkan, setiap kali nelayan tempatan berada di laut, hasil tangkapan berkurangan akibat dicuri oleh nelayan asing.
Shahrul Bahrin, 48, berkata, isu nelayan asing tidak pernah selesai sejak puluhan tahun lagi, bahkan nelayan asing itu semakin berani memasuki kawasan perairan negara untuk menjalankan tangkapan.
Katanya, teguran daripada nelayan tempatan juga tidak diendahkan kerana mahu mengaut hasil tangkapan banyak.
"Tindak-tanduk nelayan asing ini rakus meraih hasil lautan di perairan Malaysia dan tanpa rasa bersalah menggunakan alatan tangkapan terlarang.
"Nelayan tempatan terpaksa bersaing untuk mendapatkan hasil dan kami juga perlu menjaga lautan agar hasil laut terus ada, tapi mereka (nelayan asing) pula sebaliknya,” katanya kepada pemberita di Jeti Nelayan Kampung Beserah di sini.
Shahrul yang sudah 20 tahun menjadi nelayan berkata, keberanian warga asing menceroboh perairan disebabkan ada kru yang melindungi kegiatan itu.
Jelasnya, nelayan asing juga dikesan berada di lautan berhari-hari berbanding bot tempatan."Kita berada di lautan sehingga 8 jam sahaja tetapi mereka boleh menjalankan tangkapan hampir 24 jam kerana bot yang lengkap,” katanya.
Roziami Beraim, 47, pula mendakwa kerakusan nelayan asing mengaut hasil lautan negara semakin ketara sejak tujuh tahun kebelakangan ini.
"Mereka menggunakan kaedah tangkapan ikan yang diharamkan untuk memperoleh hasil lebih lumayan.
"Kaedah tunda ganding begitu berkesan memperoleh ikan dalam jumlah banyak, namun menjejaskan hidupan laut termasuk merosakkan terumbu karang,” katanya.