ISU kesuburan dan kadar kelahiran telah menjadi satu kemelut di banyak negara, tidak terkecuali Malaysia.
China yang satu ketika dahulu mengenakan peraturan ketat iaitu hanya seorang anak untuk satu pasangan juga akhirnya kini telah mengubah polisi itu.
Malah, pemerintah China menawarkan pelbagai insentif demi menggalakkan pasangan di negara itu memiliki tiga orang anak.
Persoalannya, dengan 1.4 juta bilion penduduk, mengapa kini China mahu setiap pasangan menambah cahaya mata?
China sejak lebih sedekad lalu menyaksikan penurunan kadar kelahiran mendadak penduduknya, malah tahun lalu ia menjunam ke tahap terendah dalam sejarah.
Pemerintah negara itu menyedari walaupun memiliki 1.4 bilion penduduk, tetapi isu kesuburan di negara tersebut menyebabkan ketidakseimbangan dalam populasi kelompok mengikut usia penduduknya.
Kemelut yang sama turut didepani Malaysia apabila statistik Jabatan Perangkaan mendapati kadar kesuburan menunjukkan penurunan daripada kadar 5.0 anak pada tahun 1970 kepada kadar 1.7 anak pada 2020 untuk setiap isi rumah.
Dengan jangka hayat manusia semakin meningkat, banyak negara termasuk Malaysia akan lebih cepat menjadi apa yang digelar 'negara tua'.
Negara tua merujuk kepada penduduk berusia lebih 60 tahun merangkumi 15 peratus daripada jumlah penduduk sesuatu negara ketika itu.
Kadar kelahiran yang rendah ini akhirnya menimbulkan kebimbangan negara-negara seperti Malaysia akan berdepan kekurangan tenaga kerja satu hari nanti.
Jika melihat negara-negara Eropah ataupun Jepun, kebanyakan penduduknya terdiri dalam kalangan warga emas yang menyebabkan produktiviti negara itu terjejas.
Malah, ia akan menyebabkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing semakin meruncing.
Dengan rata-rata kebanyakan pasangan menekankan faktor kos sara hidup yang semakin meningkat sehingga mereka perlu merancang keluarga, kerajaan perlu mencari jalan agar pasangan mahu dan mampu menambah zuriat.
Tidak terkecuali, pasangan juga perlu mengamalkan gaya hidup lebih sihat termasuk mengurangkan stres, berhenti merokok dan bersenam untuk membolehkan kesuburan mereka meningkat.