ROMPIN - Tiga maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat di sini pada malam Khamis.
Dalam kejadian jam 8.50 malam itu, mereka yang maut ialah Abdul Raziz Mohdal, 40, Mohd Khairol Md Tahir, 36, dan Zairulzaimy Jambi, 18.
Empat yang cedera pula Yunaidi Yunus, 52, Zulrafuan Jambi, 36, Zulkaria Jambi, 31, dan Ungku Mohd Arif Ungku Aziz, 48.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azahari Mukhtar berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah treler, Proton Iswara dan Perodua Axia.
"Siasatan awal kita dapati treler yang dipandu Yunaidi bergerak dari arah Kuantan menghala ke Segamat. Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba kereta jenis Proton Iswara dari arah Segamat dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler.
"Kemalangan itu menyebabkan treler hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Axia dan terus terjatuh ke cerun di sebelah kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, kelindan treler, Abdul Raziz; pemandu Proton Iswara, Mohd Khairol dan penumpang belakang Iswara, Zairulzaimy meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, empat mangsa lain iaitu pemandu treler, dua penumpang Iswara dan pemandu Axia yang cedera dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk mendapatkan rawatan.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai 15 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) MUadzam Shah dan BBP Chini, Pekan bergegas ke lokasi kemalangan.
Katanya, anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat.
"Tiga mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.