Pelajar cedera parah langgar gajah

Iklan
Mangsa parah selepas melanggar seekor gajah di Jalan Kota Tinggi-Kluang berhampiran Taman Seri Impian, Kluang pada malam Khamis.

KLUANG - [KEMAS KINI] Seorang pelajar cedera parah selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar seekor gajah melintas di Kilometer 84, Jalan Kota Tinggi-Kluang di sini pada malam Khamis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, kemalangan berlaku pada jam 10.30 malam sewaktu mangsa yang menunggang motosikal jenis SYM 110 dari arah Kota Tinggi ke bandar Kluang.

Iklan
Iklan

"Mangsa yang berusia 17 tahun itu telah terlanggar seekor gajah ekoran keadaan jalan yang gelap. Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami cedera di muka dan luka di badan selain motosikalnya remuk di bahagian depan.

"Mangsa masih menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom di sini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Sementara itu, ibu mangsa, Mislawati Paiman, 46, berkata, difahamkan kemalangan tersebut berlaku semasa anaknya, Muhammad Danish Saedin dalam perjananan pulang ke rumah mereka di Taman Sri Lambak di sini.

"Sebelum kejadian anak saya dikatakan mengisi minyak motosikal di Taman Seri Impian lalu bertolak pulang ke rumah sebelum melanggar gajah berkenaan semasa dalam perjalanan.

Iklan

"Saya mendapat tahu berita kemalangan berkenaan daripada rakan-rakan anak yang bergegas mencari saya di rumah. Memang terkejut dan kami sekeluarga bergegas ke Unit Kecemasan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini selepas itu.

"Difahamkan saksi kejadian mengatakan anak saya ditemui masih sedar selepas kemalangan itu," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Katanya, doktor memaklumkan terdapat pendarahan dalam kepalanya dan ketika ini sedang ditidurkan serta dilaporkan dalam keadaan stabil.

Menurutnya, Muhammad Danish kini menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Dalam pada itu, dia berharap pihak berkuasa memandang serius isu kehadiran gajah di kawasan berdekatan perumahan penduduk di daerah ini akhir-akhir ini.

"Saya mohon pihak berkuasa supaya memasang lampu jalan di kawasan berkenaan kerana gelap pada waktu malam.

"Saya berharap kejadian seperti ini tidak berulang lagi pada masa depan,” katanya.