400 polis pantau perlawanan separuh akhir Piala FA

Iklan
Perlawanan separuh akhir Piala FA menyaksikan TFC dan Selangor FC berentap diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Sabtu ini. (Gambar kecil: Abdul Rahim)

SERAMAI 400 pegawai dan anggota polis akan memantau perlawanan separuh akhir bola sepak Piala FA Malaysia 2022 yang akan diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak, Kuala Nerus pada malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, ia bertujuan mengawal keselamatan awam bagi memastikan perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada jam 9 malam itu berjalan lancar tanpa sebarang insiden kekecohan.

Iklan
Iklan

"Penonton yang datang diminta untuk tidak meletakkan kenderaan dan menghalang jalan atau laluan ke kawasan pintu utama stadium.

"Anggota trafik juga akan ditempatkan untuk mengawal aliran trafik di sekitar kawasan stadium bagi mengelak kesesakan lalu lintas," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Perlawanan separuh akhir bola sepak Piala FA Malaysia bakal menyaksikan Terengganu FC (TFC) dan Selangor FC berentap di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Iklan

Abdul Rahim turut mengingatkan penonton yang datang agar tidak menimbulkan sebarang kekacauan dan kekecohan sebelum, semasa dan selepas perlawanan.

Katanya, sebarang perhimpunan, perarakan, provokasi, pertelingkahan atau nyanyian sama ada dalam bentuk sindiran atau penghinaan boleh diambil tindakan.

Iklan

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, semua penonton diminta mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berhubung kawalan keselamatan yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Sebagai langkah keselamatan pemeriksaan badan dan beg akan dilakukan oleh petugas sebelum pintu masuk dibuka dan selepas memasuki stadium.

"Penonton tidak dibenarkan membawa barangan terlarang seperti mercun termasuk bunga api, suar, flare, dinamit; topi keledar, botol air, botol kaca, tin minuman; dan alatan seperti laser, mancis serta pemetik api.

"Sebarang objek tajam seperti besi atau kayu dan senjata tajam seperti pisau, parang, gunting dan sebagainya turut dilarang sama sekali," katanya.