PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 hari ini memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Keputusan majoriti itu dipersetujui oleh Hakim Kamaluddin dan Hakim Datuk Azizah Nawawi manakala Datuk S Nantha Balan pula menentang.
Sebelum ini, Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) dan enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dengan anak kelahiran luar negara, pada 9 September 2021, berjaya dalam tuntutan mereka di Mahkamah Tinggi terhadap ketiga-tiga perayu.
Dalam membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi, Hakim Kamaludin berkata, perkataan 'bapa' dalam Seksyen 1(b) dan 1(c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan bermaksud bapa kandung dan tidak boleh ditafsirkan untuk memasukkan ibu atau ibu bapa.
Sebaliknya Mahkamah Tinggi dalam keputusannya untuk membenarkan kanak-kanak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing secara automatik berhak mendapat kerakyatan melalui peruntukan undang-undang di bawah Perkara 14 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa perkataan 'bapa' dalam Seksyen 1(b) hendaklah merangkumi ibu.
Hakim Kamaludin bagaimanapun berkata perkataan 'bapa' dalam Perkara 14(1)(b) dan peruntukan berkaitan dengannya dalam Jadual Kedua adalah jelas dan tidak boleh ditafsirkan untuk memasukkan 'ibu'.
"Hanya Parlimen yang boleh meminda perlembagaan, bukan mahkamah, untuk meminda perlembagaan. Mahkamah tidak boleh sesuka hati mengubah perlembagaan.
"Oleh itu, rayuan kerajaan dibenarkan tanpa perintah mengenai kos manakala keputusan Mahkamah Tinggi diketepikan," katanya.