MERSING - [DIKEMAS KINI] Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada Jumaat berangkat menyempurnakan Sambutan Hari Ulang Tahun Regimen Gerak Khas Ke-57 di Kem Iskandar di sini.
Bertitah pada majlis itu, baginda yang merupakan Kolonel Komandan Grup Gerak Khas (GGK) mahu semua anggota GGK sentiasa mengekalkan tahap kecergasan dan kekuatan fizikal kerana ia merupakan keupayaan yang mesti dimiiliki oleh seorang komando.
"Bagaimanapun, kekuatan individu sahaja tidak akan memberi kejayaan jika tiada semangat kerjasama, sepakat sebagai pasukan. Kita semua mesti bersatu hati untuk membentuk satu regimen kuat," titah baginda.
Baginda turut mengingatkan pegawai dalam Kor GGK Angkatan Tentera Malaysia supaya tidak berpolitik untuk mendapatkan pangkat dan jawatan tertentu.
"Saya tidak mahu ada unsur pilih kasih atau ikut kem tertentu. Ingin saya tegaskan, semua pangkat dan perjawatan yang telah dikhususkan tidak boleh diberikan dan dipinjamkan kepada kor lain," titah baginda.
Berangkat sama Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi. - Bernama