Malaysia mampu urus tekanan harga, masih ada ruang fiskal

Iklan
Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR - Malaysia masih mempunyai ruang fiskal untuk menguruskan cabaran tekanan harga berdasarkan nisbah hutang negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 60 peratus.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, memandangkan kerajaan telah menaikkan had siling hutang statutori kepada 65 peratus daripada KDNK daripada 60 peratus sebelum ini, selain mengekalkan sasaran defisit sebanyak enam peratus daripada KDNK, masih terdapat ruang dalam ruang fiskal.

Iklan
Iklan

"Kita mempunyai inflasi yang terkawal berbanding jiran kita dan berbanding apa yang kita lihat di seluruh dunia. Inflasi diunjurkan antara 2.2 peratus dan 3.2 peratus.

"Malah, inflasi pada sekitar 2.5 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dan itu sebahagian besarnya berikutan jumlah subsidi yang besar yang kami perkenalkan. Kami mengunjurkannya (subsidi) pada sekitar RM80 bilion; iaitu hampir kepada AS$20 bilion,” katanya dalam temu bual di Cable News Network (CNN) baru-baru ini.

Iklan

Subsidi

Antara lain, katanya bahan api yang disubsidi. Kerajaan memberi subsidi sebanyak 40 sen seliter untuk petroleum, dengan RON95 antara yang paling murah di dunia di Malaysia.

Iklan

Tengku Zafrul berkata, Malaysia mendapat manfaat daripada harga komoditi yang tinggi, terutamanya minyak, sebagai negara pengeksport komoditi, dengan minyak mentah Brent kini di bawah AS$100 setong. Dalam bajet negara, harga minyak diandaikan sebanyak AS$66 setong.

"Jika kita tidak melaksanakannya (subsidi), (seperti) yang dinyatakan oleh Jabatan Perangkaan kita, inflasi kita mungkin pada sekitar 11 peratus,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan tidak bercadang untuk mengurangkan subsidi pada tahun ini berikutan negara semakin pulih daripada pandemik Covid-19.

Katanya, pandemik telah memberi impak kepada garis dasar ekonomi dan aktiviti ekonomi yang disambung semula telah menjana pertumbuhan KDNK suku pertama yang kukuh sebanyak lima peratus dengan suku kedua dijangka lebih kukuh pada tahun ini.

Tengku Zafrul berkata, walaupun pemberian subsidi dapat membantu ekonomi dalam jangka pendek dan sederhana, ia tidak mampan untuk diteruskan dalam jangka panjang. Oleh itu, kerajaan melihat kepada subsidi yang lebih bersasar.

"Hari ini, ia merupakan subsidi yang menyeluruh. Semua orang mendapatnya. Mereka yang berada dalam kumpulan 20 peratus teratas menikmati jumlah subsidi yang sama seperti kumpulan 40 peratus terbawah daripada jumlah penduduk kita.

"Kita perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di peringkat global. Sehubungan itu, kami turut berhati-hati berikutan dasar monetari kita juga terhad,” katanya.

Bank Negara Malaysia (BNM) beransur-ansur meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) tahun ini masing-masing sebanyak 25 mata asas (bps) pada Mei dan Julai.

Ini merupakan peningkatan keseluruhan sebanyak 50 mata asas yang menjadikan paras OPR baharu pada 2.25 peratus dan angka ini bagaimanapun masih berada di bawah kadar sebelum pandemik melanda.

Prospek ekonomi

Mengenai sama ada Malaysia mampu mengelakkan kemelesetan memandangkan ekonomi ini bersifat terbuka, beliau berkata, berdasarkan pertumbuhan pada separuh pertama 2022 dan jangkaan prestasi suku ketiga yang lebih kukuh maka, Malaysia positif untuk mencapai pertumbuhan di antara 5.3 peratus dengan 6.3 peratus tahun ini.

"Namun, 2023 akan menjadi satu kebimbangan. Pastinya mencabar untuk melihat prestasi dunia pada tempoh itu, dan sebab itulah saya berpandangan kita perlu meneliti semula beberapa dasar kita.

"Penting untuk kita bersedia menghadapi ekonomi global yang semakin perlahan,” katanya.

Malaysia, sebagai rakan dagang utama dengan China, juga mengikuti rapat ketegangan antara Taiwan dan China.

Tengku Zafrul berkata, prestasi ekonomi Malaysia juga bergantung kepada cara China menangani situasi Covid-19.

"Jelas di sini, ia amat konservatif dan ini telah menjejaskan rantaian bekalan kita. Jadi, seandainya apa-apa berlaku dengan Taiwan, ia akan memberi beberapa impak. Kestabilan serantau adalah penting,” katanya.

Mengenai perbandingan situasi ekonomi antara Malaysia dan Sri Lanka, beliau mengulangi bahawa keadaan yang dialami Malaysia adalah berbeza dengan Sri Lanka.

Ekonomi Malaysia bersifat lebih pelbagai manakala Sri Lanka amat menumpukan kepada pelancongan, katanya.

"Contohnya, rizab kita mencecah AS$106 bilion berbanding dengan AS$3 bilion yang direkodkan Sri Lanka. Nisbah hutang kepada KDNK kita adalah 60 peratus sedangkan Sri Lanka mencatatkan lebih 100 peratus selain menghadapi defisit berkembar. Kita pula tidak sedemikian.

"Dari segi pinjaman dalam denominasi (mata wang) asing, ia hanya 2.5 peratus daripada hutang keseluruhan kita, jadi 97.5 peratus daripada pinjaman kita adalah dalam mata wang ringgit,” katanya. - Bernama