Grab tidak kurangkan kadar bayaran ‘rider’

Iklan
Gambar hiasan. - Foto 123RF

SHAH ALAM- Grab Malaysia menjelaskan bahawa syarikat itu tidak mengurangkan kadar bayaran asas untuk ‘rider’ atau rakan penghantarnya.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, kebimbangan berlaku ekoran gangguan dalam sistem Grab menyebabkan percanggahan daripada segi jumlah bayaran yang diterima.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun pihaknya telah memperbetulkan isu itu dan menjelaskan situasi sebenar melalui saluran komunikasi rasmi Grab Malaysia pada 21 Julai lalu.

"Kami ingin memohon maaf di atas segala kesulitan yang mungkin timbul kepada rakan penghantar dan ingin menggalakkan mereka untuk menghubungi syarikat melalui Facebook atau mengunjungi Grab Driver Centre (GDC) sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan lanjut.

Iklan

"Grab juga ingin meyakinkan semua pengguna dan rakan kongsi peniaga bahawa kami kekal komited untuk menyokong komuniti rakan penghantar Grab.

"Selama bertahun-tahun, kami telah memperkenalkan pelbagai usaha untuk menyokong mereka," jelas kenyataan itu.

Grab Malaysia menambah, langkah pemerkasaan rakan penghantar yang dilaksanakan termasuklah perlindungan semasa bekerja dengan perlindungan kemalangan peribadi percuma dan kerjasama dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memudahkan caruman serta insentif tambahan sehingga 10 peratus.

Iklan

Mereka juga membantu rakan penghantar menjimatkan perbelanjaan operasi dengan diskaun petrol, penyelenggaraan kenderaan dan keperluan harian serta memperkenalkan pelbagai promosi dan kempen seperti GrabUnlimited yang dilancarkan baru-baru ini.

"Pek langganan dengan lebih daripada 50 baucar diskaun berbeza bertujuan bukan sahaja meningkatkan jualan untuk peniaga, tetapi menyediakan lebih banyak pekerjaan untuk rakan kongsi penghantaran kami.

"Kami juga ingin mengingatkan semua rakan penghantar kami supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya dan laporkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan dan Grab jika berdepan masalah.

"Kami juga ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi sebarang khabar angin atau dakwaan palsu supaya tidak menimbulkan panik,” jelasnya.