Shah Firdaus mampu gegar Olimpik Paris 2024

Iklan
Shah Firdaus

KEJAYAAN pelumba trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom meraih pingat gangsa pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 membuktikan dia mampu menggegar pentas Sukan Olimpik Paris 2024.

Pelumba sensasi negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang berkata, ini kerana daya saing para pelumba dalam acara trek pada Sukan Komanwel sangat tinggi dan peluang untuk memenangi pingat sangat mencabar.

Iklan
Iklan

Tambahan pula kata beliau, Shah Firdaus sebelum ini masih dalam proses pembikinan dan kejayaan meraih pingat menunjukkan yang dia sudah beralih dari fasa buah putik kepada fasa buah yang masak ranum.

"Kita sudah dapat melihat dengan jelas kemampuan sebenar dia di pentas antarabangsa. Saya percaya jika terus kekal mampan dia mampu menggegar pentas Olimpik Paris.

Iklan

"Sejurus selepas acara itu berakhir, Shah Firdaus membuat ciapan di media sosial beliau ‘Bronze in keirin but it feels like Gold’ (gangsa dalam keirin, tetapi rasa macam emas).

"Kenapakah beliau membuat ciapan sebegitu? Mungkin ramai tidak tahu yang lumba basikal trek adalah antara sukan yang mempunyai level kompetitif yang sangat tinggi di Sukan Komanwel," ujar beliau menerusi catatan di Facebook pada Jumaat.

Iklan

Pelumba kelahiran Johor itu pada minggu lalu meraih pingat gangsa dalam acara akhir keirin lelaki.

The Pocket Rocketman memberitahu, kejayaan Shah Firdaus itu juga telah memberi jawapan kepada ramai pihak yang mempersoalkan mengenai ketandusan pelumba pelapis dalam skuad basikal trek.

"Kita tidak ada ada pengganti dan kita ketandusan pelapis ke? Tiada muka baru ke?. Jadi semua persoalan sudah terjawab dan jangan pula selepas ini diajukan soalan yang sama pula kepada Shah Firdaus," katanya.

Azizulhasni menjelaskan proses untuk menghasilkan seseorang atlet berkualiti tinggi bertaraf antarabangsa bukan suatu proses yang mudah, sebaliknya mengambil masa yang lama dan rumit seperti menanam pokok durian musang king.

"Bukan seperti menyediakan mi segera yang hanya perlu buka bungkusan, campak dalam periuk dan tunggu selama lima minit untuk masak. Selepas itu angkat lalu makan.

"Ia seperti menanam durian musang king. Mempunyai proses yang amat rumit. Perlu dicari tanah yang sesuai untuk ditarah.

"Penyemaian anak pokoknya perlu ikut jarak yang betul, penjagaan air dan baja yang sangat kritikal dan perlu menunggu beberapa tahun untuk pokok tersebut matang dan mengeluarkan buah," ujarnya.

Pelumba kelahiran Terengganu itu turut berkongsi pengalaman peribadi, suka dan duka bersama Shah Firdaus.

"Disebabkan saya sentiasa berada di bawah ketiak masam Shah Firdaus, saya menyaksikan suka duka perit getir yang terpaksa dilaluinya.

"Disebabkan kesanggupan dia untuk bertahan dan tabah di dalam melalui proses tersebut, dia kini berada di tahap sekarang. Saya percaya jika setiap atlet mempunyai kesanggupan tinggi tersebut, mereka juga mampu mengorak langkah untuk pergi lebih jauh," katanya.