RCEP penyumbang utama strategi pemulihan wilayah

Iklan
Perjanjian Perdagangan Bebas Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan menjadi penyumbang utama kepada strategi pemulihan ASEAN. - Foto 123RF

PHNOM PENH - Perjanjian Perdagangan Bebas Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan menjadi penyumbang utama kepada strategi pemulihan ASEAN, menurut pernyataan bersama menteri-menteri luar ASEAN yang dikeluarkan di sini pada Jumaat.

Pernyataan bersama dikeluarkan selepas Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN ke-55 (AMM ke-55) yang diadakan di Phnom Penh dan turut mengalu-alukan penguatkuasaan RCEP mulai 1 Jan 2022.

Iklan
Iklan

"RCEP akan memberi sumbangan besar kepada strategi pemulihan ASEAN dan akan terus menyokong acuan perdagangan dan pelaburan yang inklusif serta terbuka di rantau ini," menurut pernyataan bersama itu, lapor Xinhua.

Para menteri juga mengalu-alukan hasil Mesyuarat Jawatankuasa Bersama (RJC) RCEP yang pertama pada April, termasuk membincangkan pelaksanaan RCEP, serta penubuhan jawatankuasa bagi memantau pelaksanaan RCEP dan menyokong elemen utama penubuhan sekretariat RCEP.

Iklan

Pada Rabu, Perdana Menteri Kemboja, Samdech Techo Hun Sen mencadangkan penubuhan sekretariat kendiri di Phnom Penh untuk memaksimumkan potensi RCEP.

RCEP terdiri daripada 15 negara Asia-Pasifik termasuk 10 negara anggota ASEAN -- Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam dan lima rakan dagang iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Iklan

Pakatan mega-serantau itu akan menghapuskan 90 peratus tarif ke atas barangan yang diniagakan dalam kalangan ahlinya untuk tempoh 20 tahun akan datang.

Sebagai blok perdagangan terbesar di dunia, RCEP mewujudkan pasaran 2.2 bilion pelanggan, atau 30 peratus daripada penduduk dunia dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak AS$26.2 trilion yang mewakili sekitar 30 peratus KDNK global dan 28 peratus perdagangan global.

Menurut kajian Bank Pembangunan Asia, RCEP dijangka akan meningkatkan pendapatan ekonomi ahlinya sebanyak 0.6 peratus menjelang 2030, peningkatan sebanyak AS$245 bilion bagi pendapatan serantau setiap tahun dan mewujudkan 2.8 juta peluang pekerjaan.

Timbalan setiausaha negara dan jurucakap Kementerian Perdagangan Kemboja, Penn Sovicheat berkata, RCEP akan menyuntik dorongan baharu ke dalam pertumbuhan ekonomi serantau dan global dalam tempoh jangka masa panjang.

"RCEP akan memberi rangsangan besar kepada ekonomi kita dalam era pasca pandemik.

"Ia juga merupakan campur tangan yang tepat pada masanya dalam usaha Kemboja untuk menamatkan status Negara Kurang Maju (LDC), berkemungkinan menjelang 2028 dan usaha terancang negara untuk mencapai status negara berpendapatan sederhana dan berpendapatan tinggi masing-masing menjelang 2030 dan 2050," katanya kepada Xinhua.

Kin Phea, Ketua Pengarah Institut Perhubungan Antarabangsa Akademi Diraja Kemboja berkata, RCEP memainkan peranan penting dalam melenyapkan unilateralisme kerana ia menghimpunkan semua perjanjian perdagangan bebas dua hala di bawah satu ruang lingkup ekonomi di bawah satu peraturan perdagangan menyeluruh.

"Ia adalah perjanjian perdagangan bebas serantau yang paling bercita-cita tinggi di Asia, dan China telah memainkan peranan penting dalam mengubah ekonomi Asia dengan menjadi kutub ekonomi teras yang bertujuan untuk mengalihkan perlindungan dan kesan negatif yang meluas akibat perang dagang," katanya. - Bernama