Gesa RUU Pendanaan Politik dibentang di Parlimen: KRPPM

Iklan
Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai Pendanaan Politik menggesa Rang Undang-undang (RUU) tersebut dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen. - Foto fail Bernama.(Gambar kecil dari kiri: Ahmad Fadhli & TRICIA)

SHAH ALAM - Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai Pendanaan Politik menggesa Rang Undang-undang (RUU) tersebut dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen.

Pengerusinya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, dengan adanya RUU tersebut, satu perbincangan yang lebih bermakna dapat dicetuskan dalam kalangan masyarakat mengenai keperluan ketelusan dalam pendanaan politik.

Iklan
Iklan

"Kami merasa gembira mendengar perkembangan terbaharu yang menyokong pembentangan satu Rang Undang-Undang Pendanaan Politik.

"Pengumuman oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bahawa Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) sedang merangka satu skop dasar untuk RUU sebegini mengisyaratkan komitmen positif daripada kerajaan berkenaan hal ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Ulas Ahmad Fadhli, sokongan terkini daripada Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berhubung perkara tersebut juga dilihat memberangsangkan.

"Malah, kami berharap kerajaan juga akan mendedahkan kepada awam apa-apa dokumen yang berkaitan dengan RUU Pendanaan Politik atau RUU itu sendiri jika ia telah pun dirangka,” ujarnya.

Iklan

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tricia Yeoh melalui kenyataan yang sama berkata, RUU persendirian itu perlu dibentang serta dibahas di Parlimen demi kepentingan semua parti politik di negara ini.

Selain itu, menurut Tricia, kepimpinan kanan semua parti digesa untuk menerajui perbincangan mengenai cara ketelusan yang lebih besar dapat diperkenalkan dalam pengurusan kewangan parti.

"Akhirnya, satu RUU Pendanaan Politik akan memberikan satu pentas politik yang adil, memprofesionalkan politik serta membawa kematangan dalam budaya politik kita.

"Kami merasa gembira dengan sikap dwipartisan yang ditunjukkan secara positif baru-baru ini yang telah membawa kepada RUU Anti Lompat Parti.

"Kami juga ingin menggesa tindakan dan sikap yang sama daripada semua parti politik untuk memperkenalkan Akta Pendanaan Politik demi kebaikan semua pihak,” jelasnya.