NEW DELHI - Kerajaan Sri Lanka menasihati rakyatnya supaya tidak mencari pekerjaan secara haram di Malaysia dengan menggunakan pas lawatan sosial.
Pihak berkuasa Malaysia menghantar pulang kira-kira 20 warga Sri Lanka setiap minggu selepas menolak kemasukan mereka kerana tidak menggunakan dokumen yang sah, menurut Kementerian Pertahanan Sri Lanka.
Iklan
Iklan
"Pasukan Petugas Anti Pemerdagangan Orang Nasional telah dimaklumkan bahawa semakin ramai rakyat Sri Lanka yang tiba di Malaysia dengan visa lawatan kerana mempercayai visa itu boleh ditukar kepada visa bekerja.
"Ramai warga yang berjaya masuk ke Malaysia dengan visa lawatan kemudiannya mendapati mereka ditipu oleh"ejen pekerjaan",” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut kementerian semua bakal migran perlu menggunakan saluran yang sah dan mendaftar dengan Biro Pekerjaan Asing Sri Lanka (SLBFE) sebelum meninggalkan negara.
Kegawatan ekonomi dan politik Sri Lanka yang belum pernah berlaku sebelum ini telah mengakibatkan pengangguran yang besar, inflasi tinggi dan kekurangan barangan keperluan dan tenaga yang meruncing. - Bernama