China mahu perkukuh perkongsian strategik komprehensif

Iklan
Wang Yi

PHNOM PENH - China komited berusaha bersama dengan ASEAN dalam membina komuniti berkongsi nasib China-ASEAN yang lebih rapat bagi menyumbang kepada keamanan dan pembangunan serantau, kata Menteri Luar China, Wang Yi.

"Sepanjang lebih separuh tahun lalu, kerjasama antara China dengan ASEAN membuahkan hasil yang menggalakkan dalam pelbagai bidang, perkongsian strategik komprehensif beroperasi dengan lancar,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-menteri Luar China-ASEAN (10+1) di sini Khamis.

Iklan
Iklan

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah ke atas pelbagai kejayaan penting yang dicapai Komuniti ASEAN selepas hubungan China-ASEAN dinaik taraf ke perkongsian strategik komprehensif pada November 2021.

Beliau turut mengemukakan cadangan agar China dan ASEAN menyelaraskan strategi pembangunan kedua-dua pihak bagi mewujudkan situasi saling menguntungkan dan sama menang ke tahap yang lebih tinggi.

Iklan

"China sedang mempercepat langkah bagi menunaikan janji untuk menghulurkan bantuan kepada pembangunan negara-negara ASEAN dan membantu pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Global di rantau ini,” kata Wang.

Beliau turut mengesyorkan kedua-dua pihak untuk berganding bahu dalam mewujudkan integrasi ekonomi serantau yang terbuka.

Iklan

"Ia termasuk mendorong pembinaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan melaksanakan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau yang berkualiti tinggi, mempercepat rundingan susulan berhubung Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN, meneroka kerjasama dalam bidang ekonomi digital dan mesra alam,” katanya.

Wang juga menegaskan kepentingan untuk meningkatkan kolaborasi China dan ASEAN dalam tadbir urus global serta memelihara keamanan serta kestabilan serantau.

"China bersedia berunding dengan pihak ASEAN untuk melaksanakan Inisiatif Keselamatan Global, mempercepat rundingan berhubung kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan bagi menjadikan Laut China Selatan sebagai laut yang damai, bekerjasama dan bersahabat,” katanya.

Selain itu, Wang juga mencadangkan penganjuran tahun kerjasama pembangunan pertanian dan keselamatan makanan China-ASEAN, dan mengemukakan kenyataan bersama berhubung kerjasama keselamatan bijirin.

Wang berkata, menteri-menteri luar ASEAN turut menyanjung tinggi kerjasama aktif dan berkesan antara ASEAN dan China sejak terjalinnya perkongsian strategik komprehensif.

"Para menteri luar menyifatkan China adalah rakan yang boleh mewujudkan situasi saling untung, situasi sama menang dan mempunyai aspirasi yang sama,” katanya.

"Menteri-menteri luar ASEAN turut menyahut saranan agar China dan ASEAN membina bersama kampung halaman yang damai, tenteram, makmur, indah dan bersahabat yang dikemukakan Presiden China, Xi Jinping.

"Di samping berharap penggabungan BRI dengan Pandangan ASEAN tentang Indo-Pasifik (AOIP), dan melanjutkan rundingan untuk melaksanakan Inisiatif Pembangunan Global dan Inisiatif Keselamatan Global di rantau ASEAN,” katanya.

Beliau berkata, ASEAN dan China juga berharap untuk mencapai kemajuan substantif dalam rundingan berhubung COC bagi memelihara bersama keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

Dalam perkembangan lain, berhubung provokasi Amerika Syarikat (AS) terhadap kedaulatan China, Wang berkata, rakan-rakan sejawatannya turut menyuarakan pendirian mereka yang berpegang kepada prinsip Satu China selain menyokong tindakan China untuk mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayahnya.

Menteri-menteri luar ASEAN juga dijangka akan mengeluarkan kenyataan bersama berhubung situasi di Selat Taiwan.

Untuk rekod, Pelan Tindakan Perkongsian Strategik Komprehensif China-ASEAN yang diluluskan Mesyuarat Menteri-menteri Luar China-ASEAN (10+1) akan diserahkan kepada sidang kemuncak untuk diluluskan. - Bernama