SERDANG - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Perikanan akan bekerjasama dengan tiga universiti awam dalam usaha meningkatkan produktiviti sektor perikanan negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, melalui kerjasama itu, Universiti Malaya (UM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan berkongsi data saintifik serta maklumat kajian penyelidikan yang dijalankan.
"Kami mengharapkan perkongsian ini akan merancakkan lagi sektor perikanan negara dan membangunkan komuniti nelayan sekali gus mengangkat tahap sosial dan ekonomi mereka,
"Dalam era sekarang, perkongsian data dan kajian akan mempercepatkan pembangunan industri," katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama itu di tapak Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2022 di sini hari ini.
MoU bersama UUM adalah berkaitan kerjasama penyelidikan tertumpu kepada pembangunan akademik, perundingan dan penerbitan terutamanya berkaitan keusahawanan dan kemajuan ekonomi kepada nelayan, manakala dengan UKM melibatkan kerjasama penyelidikan bagi tujuan pembangunan ekonomi setempat melalui pelancongan kreatif, pengkomersialan produk dan pembangunan bakat kreatif khususnya dalam kalangan belia.
MoU bersama UM pula berkaitan kerjasama melibatkan program penyelidikan marin, pembangunan kapasiti, penyelidikan dalam bidang sains dan ekologi perikanan, biodiversiti, oseanografi, perkongsian dan penerbitan maklumat secara bersama.
Ronald berkata, kerjasama itu adalah langkah penting dalam menyokong agenda sekuriti makanan negara khususnya dalam membolehkan permintaan ikan yang dijangka mencecah 2.55 juta tan menjelang 2030 dipenuhi.
Menurutnya, industri perikanan negara kini menghadapi pelbagai cabaran yang memberi kesan kepada bekalan ikan seperti peningkatan kos pengeluaran, masalah penyakit ikan serta perubahan iklim yang tidak menentu.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Datuk Dr Wan Kamal Mujani berkata, disebabkan negara kini dilanda beberapa isu keruncingan bekalan makanan, kerjasama seperti yang ditandatangani pihaknya hari ini adalah tepat pada masanya.
"Kami harapkan kerjasama ini akan menghasilkan tambahan kepada diet pemakanan rakyat Malaysia serta mengukuhkan ekosistem sektor perikanan kita," katanya. - Bernama