PETALING JAYA - Hampir 100 penghantar makanan hadir menyerahkan memorandum mengandungi enam tuntutan terhadap sebuah syarikat penyedia perkhidmatan p-hailing di ibu pejabat organisasi tersebut di Seksyen 51A di sini pada Jumaat.
Cuaca hujan tidak menghalang para penunggang terbabit yang datang dari sekitar Lembah Klang untuk berkumpul di pekarangan pejabat syarikat itu bermula jam 4.30 petang dan menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil syarikat sebelum bersurai sekitar jam 6.15 petang.
Wakil kumpulan penghantar makanan, Muhammad Firdaus berkata, enam tuntutan tersebut dibuat kepada pengurusan syarikat p-hailing berkenaan kerana dilihat telah menindas dan tidak menghargai pengorbanan para 'rider' yang sanggup bergadai nyawa di jalanan.
"Kami menuntut pihak syarikat untuk menilai dan menambah semula kadar bayaran mengikut jarak pengambilan dan penghantaran dan mengekalkan kadar bayaran tambang sama seperti kadar bayaran asas untuk pesanan berganda.
"Satu pesanan RM5 kalau pesanan berganda tiba-tiba satu pesanan jadi RM4 pula jadi di mana kadar asal, mengapa semakin banyak pesanan bayaran semakin kurang?
"Kami juga menuntut supaya menyemak semula sistem pemberian bonus dan mengembalikan sistem poin berdasarkan 'diamond'," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini pada Jumaat.
Muhammad Firdaus juga mendesak supaya memansuhkan sistem jadual yang menurutnya menyusahkan para penghantar makanan.
"Bila ada sistem berjadual ini seolah-olah ada dua kasta mengakibatkan penunggang berjadual sepenuh masa sahaja yang terima pesanan manakala penunggang separuh masa yang tiada jadual tak dapat pesanan," ujarnya.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan, syarikat p-hailing terbabit menafikan dakwaan telah mengurangkan kadar bayaran kepada para 'rider' sebaliknya mengatakan ia terjadi berikutan keralatan dalam sistem mereka.
Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, kebimbangan berlaku ekoran gangguan dalam sistem menyebabkan percanggahan daripada segi jumlah bayaran yang sepatutnya diterima.
Selain itu, syarikat terbabit melaksanakan langkah pemerkasaan rakan penghantar yang dilaksanakan termasuklah perlindungan semasa bekerja dengan perlindungan kemalangan peribadi percuma dan kerjasama dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memudahkan caruman serta insentif tambahan sehingga 10 peratus.
Mereka juga membantu rakan penghantar menjimatkan perbelanjaan operasi dengan diskaun petrol, penyelenggaraan kenderaan dan keperluan harian serta memperkenalkan pelbagai promosi dan kempen.