TRIO boling padang negara meneruskan aksi cemerlang apabila mara ke final acara triples wanita pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Victoria Park, Leamington Spa di Birmingham pada Jumaat.
Gandingan Nur Ain Nabilah Tarmizi, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman dan Azlina Arshad menempah slot akhir selepas mengetepikan cabaran New Zealand yang membariskan Nicole Toomey, Tayla Bruce dan Val Smith dengan keputusan 16-9.
Kejayaan trio wanita itu sekali gus memastikan kontinjen negara memenangi satu lagi pingat di temasya kali ini dengan sekurang-kurangnya perak.
Menanti pasukan negara di pentas final dijadual berlangsung pada 4.30 petang waktu tempatan hari ini (11.30 malam waktu Malaysia) ialah tuan rumah England yang menewaskan Cook Islands 23-11.
Skuad boling padang kebangsaan juga cemerlang apabila pasangan Siti Zalina Ahmad dan Emma Firyana Saroji mara separuh akhir selepas menumpaskan pasangan Ireland Utara, Megan Devlin-Shauna O'Neill 15-11.
Pasangan negara yang dalam misi mempertahankan pingat emas itu akan berdepan wakil Australia, Kristina Krstic dan Ellen Ryan di separuh akhir pada tengah hari ini waktu tempatan atau 7 malam waktu Malaysia.
Sementara itu, Fairul Izwan Abd Muin berada di landasan tepat dalam memburu pingat apabila mara separuh akhir acara singles lelaki.
Pemain berusia 39 tahun itu menempah slot dalam kelompok empat pemain terbaik apabila menumpaskan atlet Jersey Ross Davis 21-12, sekali gus akan menentang pemain Ireland Utara Gary Kelly di separuh akhir esok. - Bernama