KAJANG – Majikan yang bergelar Tan Sri bersama isterinya yang didakwa melayan tiga orang gajinya dengan cara kekerasan telah ditahan polis, tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah menahan pasangan tersebut pada jam 8 pagi.
"Pasangan tersebut telah dibawa ke Mahkamah Kajang pada untuk mendapat permohonan reman dan reman telah dibenarkan satu hari iaitu tahanan sehingga jam 5.00 petang untuk tarikh yang sama,” katanya.
Pada 22 Mac lalu, polis menerima laporan seramai tiga pembantu rumah warga Indonesia mendakwa dipukul oleh majikan tersebut di sebuah banglo di Country Heights, Kajang.
Ketiga-tiga wanita berkenaan berusia di antara 25 hingga 41 tahun, Mereka telah melarikan diri daripada rumah suspek setelah tidak tahan diperlakukan dengan kasar oleh majikan tersebut.
Kesemua mangsa turut mendakwa pernah dipukul dengan cara ditampar dan ditumbuk. Selain itu, gaji mereka tidak dibayar selama bekerja di situ dan tidak dibenarkan pulang ke Indonesia di mana pasport peribadi disimpan oleh majikan.
Kesemua mangsa juga pergi ke Klinik Kesihatan Kajang untuk pemeriksaan doktor. Bagaimanapun hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga mangsa tiada kecederaan fizikal, mental dan seksual.
Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kes ini diminta menyalurkan maklumat dan boleh berhubung terus kepada Pegawai Penyiasat Kes iaitu Assistant Superintendent P Vekram Sinnaiah di talian 019-4737108.
Kes disiasat di bawah Seksyen 13 ATIPSOM 2007.