JASIN - Perbuatan dua rakan yang dipercayai menjual lot tanah tidak wujud atas nama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Semujuk, Merlimau sejak beberapa tahun lalu, akhirnya terbongkar setelah ditahan polis.
Kedua-dua supek berusia 41 tahun dan 59 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan petang kelmarin, setelah polis menerima laporan dari seorang mangsa yang mendakwa dirinya ditipu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, suspek disyaki menggunakan modus operandi dengan memperdayakan mangsa menjual 3,000 lot tanah milik MAIM dengan menawarkan harga RM5,000 bagi setiap lot kepada pembeli.
Menurutnya, mangsa yang berusia 58 tahun dipercayai telah membuat bayaran sejak Mac 2015 bagi membeli tanah berkenaan namun sehingga sekarang dia bukan sahaja tidak mendapat tanah itu malah suspek turut memberikan pelbagai alasan.
Katanya, mangsa berasa dirinya tertipu dan lebih malang telah menyerahkan wang tunai berjumlah RM86,000 menerusi transaksi secara tunai sebanyak dua kali.
"Bertindak dari laporan pengadu kita telah berjaya menahan dua orang suspek yang bekerja di kedai runcit iaitu seorang lelaki berusia 41 tahun di Durian Tunggal, manakala rakannya seorang wanita dipercayai menjadi orang tengah ditahan di Tehel pada hari yang sama jam 4.15 petang.
Kedua-dua suspek telah ditahan kurang tempoh 24 jam selepas mangsa membuat laporan polis dan ditahan reman hingga Jumaat ini bagi siasatan lanjut," katanya.
Tambah Arshad, berdasarkan semakan dengan agensi itu turut mendapati mereka tidak pernah terlibat dalam penjualan tanah seperti didakwa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah (KAJ).