BANGKOK - ASEAN amat kecewa dengan dengan komitmen dan kemajuan yang kurang memberangsangkan yang ditunjukkan junta Myanmar berhubung pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) bagi menamatkan konflik di negara itu.
Dalam pernyataan bersama yang dikeluarkan pada Jumaat selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-55 (AMM-55), blok serantau itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap krisis politik yang berpanjangan di negara itu, termasuk pelaksanaan hukuman mati empat aktivis pembangkang.
"Kami amat kecewa dengan kemajuan dan komitmen yang kurang memberangsangkan oleh pihak berkuasa Myanmar terhadap pelaksanaan 5PC.
"Untuk mencapai tujuan ini, dengan mendukung persetujuan antara pemimpin pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan selaras dengan Perkara 20 Piagam ASEAN, kami mengesyorkan Sidang Kemuncak ASEAN menilai kemajuan pelaksanaan 5PC oleh Majlis Pentadbiran Negeri untuk mencapai keputusan berhubung langkah seterusnya,” menurut pernyataan bersama itu.
Menteri-menteri luar ASEAN turut mengulangi komitmen untuk mewujudkan keamanan dan kestabilan di rantau ini serta menyuarakan kesediaan ASEAN membantu Myanmar secara positif dan konstruktif termasuk menyalurkan bantuan kemanusiaan.
Selain itu, Menteri-menteri luar turut bersetuju agar Duta Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar melibatkan semua pihak berkepentingan di Myanmar secepat mungkin.
5PC bagi menangani krisis Myanmar telah dipersetujui ketika Mesyuarat Pemimpin ASEAN (ALM) di Jakarta pada April 2021.
5PC menggesa keganasan di Myanmar dihentikan serta merta, dialog konstruktif antara semua pihak yang terbabit untuk mencari jalan penyelesaian damai demi kepentingan rakyat, duta khas Pengerusi ASEAN akan memudahkan perantaraan proses dialog dengan bantuan Ketua Setiausaha ASEAN, ASEAN akan memberikan bantuan kemanusiaan dan duta khas dan delegasi dibenar melawat Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak yang berkenaan.
Pada 2 Ogos, ketua tentera Myanmar Sr Jeneral Min Aung Hlaing berkata beberapa perkara daripada 5PC yang dipersetujui dengan ASEAN akan dilaksanakan tahun ini.
Beliau berkata Myanmar tidak dapat melaksanakan 5PC tahun lepas kerana"ketidakstabilan" sebahagiannya disebabkan impak dari pandemik Covid-19.
AMM-55 memberi tumpuan kepada usaha menamatkan krisis di Myanmar dihadiri menteri luar ASEAN serta ahli diplomat tertinggi dari China, Amerika Syarikat, Rusia dan Jepun.
Bagaimanapun, ketegangan di Selat Taiwan selepas lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi ke pulau itu membayangi mesyuarat itu. - Bernama