‘Sekadar berkongsi pendapat’

Iklan
Keratan muka depan Sinar Harian pada Jumaat. (Gambar kecil: Ahmad Murad)

SHAH ALAM - Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican menjelaskan kehadiran beliau dalam majlis pengumuman Gerakan Tanah Air (GTA) atas kapasiti sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dalam kalangan ahli akademik dan profesional.

Beliau yang turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa GTA menjelaskan, penglibatannya dalam gabungan tersebut untuk menyebar dan berkongsi idea dalam mengubah budaya parti politik orang Melayu dan bukan bertanding untuk menjadi wakil rakyat.

Iklan
Iklan

"Saya dapati ada saluran untuk diketengahkan beberapa idea dari segi perubahan sosial dan masyarakat.

"Sebagai contoh, saya pernah beberapa kali menyentuh mengenai reformasi budaya kepartian orang Melayu.

Iklan

"Tetapi saya boleh menyumbangkan idea dan beri cadangan dalam GTA atas kapasiti sebagai seorang sarjana dan bukannya ahli politik misalnya mengubah imej orang Melayu di negara ini agar tidak dilihat sebagai seorang lemah dan menentang budaya termasuk rasuah dan salah guna kuasa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Pada petang Khamis, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah melancarkan satu blok baharu parti politik bertujuan untuk memperkasa kaum Melayu terutama dalam bidang ekonomi.

Iklan

Dr Mahathir yang kini berusia 97 tahun merancang untuk meletakkan calon di 120 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi melawan UMNO.

Ahmad Murad yang kini merupakan Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menambah, beliau tidak berminat untuk bertanding di kerusi Parlimen pada PRU15.

"Saya tidak akan bertanding PRU atau mewakili mana-mana parti. Ini bukan matlamat saya,” katanya.

Ujarnya, seorang sarjana juga ada kecenderungan dan kepercayaan politik, namun tidak boleh memihak atau mencorakkan ‘kesarjanaan’ untuk kepentingan ideologi politik.

"Jadi saya tegaskan lagi kedudukan saya sebagai ahli jawatankuasa mewakili NGO Melayu daripada kalangan ahli akademik dan profesional bukannya menjadi ahli parti politik.

"Saya memilih untuk menyertai GTA kerana dalam senario politik Malaysia, tidak ada gabungan sebegini yang menggabungkan ahli politik bersama NGO Melayu, ahli akademik serta agamawan,” kata Ahmad Murad lagi.