PENERJUN negara, Jellson Jabillin mengakui mengambil risiko besar dengan mengabaikan kecederaan koyak patelar tendon di lutut kiri untuk beraksi acara akhir platform 10 meter (m) seirama lelaki di Sukan Komanwel 2022 Birmingham, di sini pada Sabtu.
Katanya, beliau berpuas hati dengan persembahannya walaupun menduduki tempat kelima berganding dengan Hanis Jaya Surya untuk mengumpul markah keseluruhan 365.64 mata.
Malah, beliau percaya boleh beraksi dengan lebih baik bersama Hanis sekiranya beliau bebas daripada kecederaan.
"Patelar tendon lutut sebelah kiri saya koyak seminggu sebelum berlepas ke Sukan Komanwel...kecederaan ini paling teruk saya pernah alami, sebelum ini sakit lutut biasa sahaja.
"Doktor juga memaklumkan supaya jangan berusaha keterlaluan kerana amat berbahaya dan boleh koyak sepenuhnya...seterusnya ambil masa lama untuk pulih. Namun Sukan Komanwel merupakan temasya sukan terbesar, saya dah berlatih dengan gigih...tak akan nak biarkan begitu sahaja,” katanya kepada Bernama di sini.
Walaupun tidak cergas, Jellson berazam untuk menampilkan persembahan lebih konsisten apabila bergandingan dengan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong pada acara 10m platform seirama campuran, Isnin ini (8 Ogos).Walaupun kecewa dengan keadaan tersebut, Hanis berharap dapat menebus persembahan kurang menyerlah itu dalam acara 10m platform individu lelaki, Ahad ini (7 Ogos).
Beliau merasakan kegagalan menampilkan aksi dengan bakik pada terjunan ketiga dan keempat menyebabkan mereka kehilangan kedudukan yang lebih baik dalam saingan akhir itu.
"Persembahan kami agak mengecewakan khususnya kurang keyakinan ketika melakukan terjunan ketiga dan keempat. Saya tahu sukar untuk berada dalam kalangan pemenang pingat pada acara seterusnya tetapi berharap dapat berada dalam kelompok lima penerjun terbaik,” katanya.
Gandingan England, Matthew Lee-Noah Oliver Williams memenangi acara berkenaan dengan mengumpul kutipan 429.78 mata diikuti wakil Kanada, Rylan Mackenzie Wiens-Nathan Milner (413.85 mata) dan pingat gangsa menjadi milik gandingan Australia, Domonic Bedggood-Cassiel Rousseau (412.56 mata).
Sementara itu, penerjun negara, Kimberly Bong (225.00 mata) dan Ong Ker Ying (206.80 mata)a muncul dua terakhir dan tercorot masing-masing dalam kalangan 12 penerjun dalam acara 1m papan anjal individu.
Penerjun Kanada,Mia Vallee menang pingat emas dengan 291.85 mata diikuti wakil Australia,Mae O’Brien (279.60 mata) dan gangsa oleh penerjun England, Amy Elisabeth Rollinson (272.00 mata). - Bernama