Hutan paya di Selangor sasaran pencuri pokok bakau

Iklan
Loy Sian (berdiri atas pentas kiri) bersama Yang Dipertua MPSJ, Rahilah Rahmat (kanan) pada Program Pelepasan 5,000 Fun Walk Taman Alam sempena Karnival Kuala Selangor, pada Sabtu.

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor memandang serius kegiatan haram menebang dan mencuri pelbagai spesies pokok bakau di kawasan pesisir pantai dan hutan paya di negeri ini bagi tujuan komersial.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian berkata, kegiatan itu dikesan didalangi pihak tertentu berikutan pokok bakau mendapat permintaan tinggi terutama dalam sektor pembinaan untuk dijadikan kayu cerucuk.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beberapa lokasi dikenal pasti menjadi tumpuan kepada aktiviti haram itu antaranya di Pulau Ketam, pesisir pantai Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

"Kami memang ada menerima laporan mengenai kecurian dan pencerobohan pokok bakau ini, namun berdepan kekangan kerana tidak dapat memantau secara 24 jam disebabkan kawasan pencerobohan yang luas," katanya dalam sidang akhbar selepas Program Pelepasan 5,000 Fun Walk Taman Alam sempena Karnival Kuala Selangor, pada Sabtu.

Iklan

Kata Loy Sian, pihaknya sentiasa melakukan rondaan dan menjalankan operasi penguatkuasaan secara berkala bagi membanteras aktiviti haram tersebut.

Tambah beliau, penguatkuasaan dilakukan setiap hari termasuk dengan membuat pemantauan melalui udara menggunakan dron.

Iklan

"Kita ada buat serbuan dan pemeriksaan berjadual serta kadang kadang masuk ke kawasan hotspot untuk memerangi kegiatan ini," katanya.

Tegas beliau, kerajaan negeri tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada pihak tidak bertanggungjawab yang menyebabkan kemusnahan alam semula jadi.

"Walaupun pokok bakau mempunyai nilai tinggi, perbuatan tidak bertanggungjawab ini mesti dicegah dam diambil tindakan serius mengikut peruntukan undang-undnag sedia ada," katanya.

Ditanya mengenai Karnival Kuala Selangor, Loy Sian berkata, program penganjuran itu dilaksanakan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) membabitkan semua lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah.

Katanya, sebanyak 800 pokok bakau minyak ditanam di Taman Alam Kuala Selangor bagi memberi kesedaran kepada semua pihak terutama murid sekolah mengenai kepentingan penanaman pokok itu bagi mencegah hakisan pantai dan memulihara habitat asal supaya anak ikan, udang serta ketam dapat membiak.

"Saya meminta golongan belia terus memainkan peranan penting untuk memastikan kemapanan dan kelestarian alam terjaga untuk masa depan generasi seterusnya," kata beliau.