PENGENDALI Brighton, Graham Potter meramalkan skuad kendaliannya itu bakal melalui detik sukar di Old Trafford bagi aksi sulung Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini berdepan Manchester United.
Menurut Potter, skuad The Red Devils itu pastinya menurunkan kesebelasan terkuatnya dalam usaha meraih tiga mata berharga pada aksi sulung di laman sendiri musim ini.
"Kami akui akan berdepan dengan pasukan memiliki ramai pemain ‘bintang’ seperti Christian Eriksen dan beberapa pemain lagi dan Erik Ten-hag sendiri merupakan salah seorang pengendali pasukan bola sepak yang baik.
"Lagi pun, mereka (United) beraksi di laman sendiri dan pasti menjadi pilihan untuk memenangi perlawanan ini.
"Oleh itu, perlawanan ini pasti sukar, tetapi kami akan tetap mencuba sedaya upaya untuk berdepan mereka,” katanya.
Menurut Potter, Brighton juga dijangka menurunkan kesebelasan terbaik mereka pada perlawanan berkenaan dalam usaha memberikan saingan sengit kepada United.
Sementara itu, Potter menafikan dakwaan yang mengatakan Brighton mungkin mengharungi perlawanan mudah susulan Ten-Hag belum pernah mengendalikan pasukan dalam saingan EPL.
Katanya, selaku pengendali berpengalaman, Ten-Hag sebenarnya dilihat mampu untuk mengemudi mana-mana pasukan di mana-mana sahaja.
"Saya tidak fikir Ten-Hag berdepan kesukaran mengendalikan pasukan di EPL. Lihat saja prestasi United ketika saingan pra-musim dan sebelum itu prestasinya bersama Ajax Amsterdam.
"Oleh itu, jelas kami perlu bekerja keras jika mahu melakar sebarang keputusan positif Ahad ini,” katanya.