Bahasa Melayu wadah penyatuan negara serumpun

Iklan
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
PHUKET - Bahasa Melayu perlu dilestarikan kepada generasi muda yang bakal menjadi pemimpin masa depan agar jati diri mereka terus kukuh walau mendepani arus kemodenan, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, usaha tersebut perlu diperkukuhkan agar jati diri generasi muda terus utuh kerana bahasa Melayu menjadi salah satu wadah penyatuan bangsa selain lambang jati diri warga negara-negara serumpun.

"Sekiranya kita menghayati sejarah, bahasa Melayu merupakan bahasa serumpun antara Wilayah Selatan Thailand, Malaysia dan Indonesia," titah baginda pada majlis perasmian Program Semarak bahasa anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Sekolah Muslim Wittaya Phuket di sini pada Sabtu.

Program tersebut merupakan acara sampingan sempena Program Ziarah Mahabbah 2022 selama tiga hari ke Phuket, Thailand bermula 5 hingga 7 Ogos.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perlis, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran; Rektor UiTM Perlis, Prof Madya Dr Shukor Sanim Mohd Fauzi; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengetua Sekolah Muslim Wittaya Phuket, Kitti Islam.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, seiring dengan perkembangan dunia semasa, nafas baharu perlu diberi dalam pembelajaran dan pengajaran bahasa Melayu serantau.

"Proses pembelajaran dan pengajaran perlu ditambah nilai dengan teknik-teknik atau aktiviti yang mampu menarik minat para pelajar untuk mempelajari dan menguasai bahasa Melayu," titah baginda.

Baginda bertitah sebagai contoh, penggunaan teknologi dan aplikasi terkini seperti video, podcast, dan gamifikasi dapat menarik minat pelajar khususnya generasi muda untuk mendekati bahasa ini.

Justeru baginda berharap agar kerjasama antara Malaysia dan Thailand dapat diteruskan dan dipertingkat lagi pada masa hadapan dengan pelbagai idea yang lebih kreatif dan tindakan yang lebih proaktif.

"...ini supaya dapat memberikan impak yang tinggi dalam pembangunan masyarakat, budaya dan sosial antara kedua-dua negara," titah baginda.

Seramai 35 delegasi daripada ahli MAIPs menyertai Program Ziarah Mahabbah 2020 ke Phuket yang berlangsung sejak Jumaat. - Bernama