160,000 layak mengundi di Shah Alam pada PRU15

Iklan
Shamsul Anuar Nasarah

SHAH ALAM - Dianggarkan sekitar 160,000 pemilih termasuk pemilih baharu yang didaftarkan secara automatik layak mengundi di Shah Alam pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, jumlah tersebut adalah empat kali ganda jumlah pengundi di Parlimen Lenggong, Perak.

Iklan
Iklan

Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Lenggong berkata, pengundi kawasan urban area seperti di Shah Alam juga terdiri dalam kumpulan atau kelompok yang berbeza-beza.

"Pengundi saya di Parlimen Lenggong yang sedikit jumlahnya itupun mencabar untuk dijaga, saya tidak boleh bayangkan bagaimana di Shah Alam ini hendak jaga 160,000 pengundi.

Iklan

"Rakyat (pengundi) di kawasan urban area di Shah Alam juga dalam kumpulan kelompok berbeza-beza, tahap pendidikan berbeza, minat tidak sama dan citarasanya juga sangat tidak sama satu sama lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Roadshow Pentas Barisan Nasional (BN) Ke Bahagian-Bahagian di Pejabat UMNO Bahagian Shah Alam di Seksyen 14 di sini pada malam Jumaat

Iklan

Sehubungan itu, Shamsul Anuar menggesa agar pendekatan berbeza yang sesuai dengan kehendak pengundi dapat digunakan bagi memastikan mereka dapat memberi sokongan terhadap parti.

"Sudah tentu pendekatan yang perlu kita lakukan berbeza sesuai dengan apa yang mereka inginkan dan kita tidak boleh lakukan apa yang kita suka tetapi ia tidak disukai rakyat dan akhirnya kita ditinggalkan," katanya.

Menurutnya, landskap politik kini jauh berubah yang memerlukan kaedah dan pendekatan baharu agar maklumat sampai kepada setiap 160,000 pengundi walaupun mustahil untuk menembusi kesemuanya.

"Sebab itu perlukan strategi dan yang penting kita mesti cari kaedah untuk memastikan segala agenda dan segala yang ditawarkan kepada rakyat dapat sampai kepada mereka.

"Cara kita sampaikan kena sesuai dengan mereka, kita ada banyak pengalaman walaupun dulu produk GST (cukai barang dan perkhidmatan) sangat baik, tetapi barangkali kaedah disampaikan kepada rakyat agak tidak kena dan tidak tepat," katanya.

Katanya, penganjuran Program Roadshow Pentas Barisan Nasional (BN) Ke Bahagian-Bahagian menjadi salah satu kaedah bagi menyampaikan mesej parti itu kepada rakyat.