TEMERLOH - Aktivis alam sekitar, Khaidir Ahmad terharu dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis Tertinggi Gerakan Tanah Air (GTA) yang diumumkan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis.
Khaidir yang juga bekas ketua pengarang berita TV3 menyifatkan pelantikan beliau satu pengiktirafan kepada peranan golongan aktivis alam sekitar dan aktivis rakyat marhaen supaya Malaysia menjadi sebuah negara lestari, sejahtera dan harmoni untuk kehidupan rakyat pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.
"Saya amat terharu kerana turut terpilih dalam GTA yang juga penghormatan buat saya dan lain-lain.
"Selain berjuang demi alam sekitar dan rakyat marhaen, pelantikan ini adalah satu penghormatan dan pengiktirafan kepada peranan golongan penulis dan wartawan dalam pembentukan sebuah negara yang adil.
"Ia termasuk dari sudut agihan kemakmuran kepada rakyat, khususnya bangsa pribumi serta sebuah negara yang bebas daripada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa," katanya yang juga dikenali dengan gelaran Wartawan Tua di laman sosial Facebook.
Dalam pada itu, bekas calon atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang bertanding di Parlimen Temerloh dan Dewan Undangan Negeri(DUN) Lanchang menegaskan akan memikul amanah dan tanggungjawab terbabit dengan sebaik-baiknya demi agama, bangsa dan tanah air.
Khaidir berkata, ia antara usaha ke arah merealisasikan 'Malaysia Baharu Tanpa Rasuah' dengan agihan kemakmuran negara yang lebih adil kepada segenap lapisan rakyat.
Pada Khamis, Dr Mahathir mengumumkan GTA sebagai gabungan parti politik baharu berlandaskan Melayu dan Islam bagi menentang UMNO dalam PRU15.
Menurutnya, ia melibatkan gabungan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), parti Perikatan India Muslim Malaysia (Iman), parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), badan bukan kerajaan (NGO), ahli profesional dan akademik serta individu tertentu.