SHAH ALAM - Amalan kronisme antara punca utama dasar kerajaan untuk mengurangkan jurang ekonomi golongan kaya dan miskin negara ini kurang terlaksana.
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Firdausi Suffian berkata, semua bantuan atau insentif kerajaan sepatutnya sampai kepada golongan sasar terutama kumpulan B40.
Menurutnya, budaya kroni menyebabkan matlamat bantuan tersebut tidak tercapai.
"Jika pihak kerajaan memperkenalkan sesebuah dasar dalam membantu ekonomi negara seperti bantuan kepada usahawan muda, maka berilah kepada yang benar-benar berkelayakan,” katanya ketika dihubungi Sinar harian pada Sabtu.
Tambah beliau, dasar kerajaan sebelum ini termasuk Dasar Ekonomi Baharu (DEB) dan Wawasan 2020 banyak memberi kesan positif kepada rakyat bagi peningkatan taraf hidup dan pendidikan masyarakat.
Sehubungan itu ujarnya, kerajaan perlu menambah baik infrastruktur yang lebih lengkap di seluruh negara terutama di kawasan luar bandar supaya jurang ekonomi dapat dikurangkan.
"Hal ini kerana projek-projek integrasi negara terutama yang melibatkan digital lebih banyak terlaksana di Selangor kerana infrastruktur yang lengkap dan ini tidak berapa terlaksana di kawasan seperti Sabah disebabkan kekurangan hal tersebut,” jelasnya.
Pada Jumaat, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, masalah jurang perbezaan antara golongan kaya dan miskin yang sering dikaitkan dengan kaum tertentu di negara ini perlu ditangani segera bagi mengelak tercetusnya permusuhan lebih teruk.
Tegasnya lagi, tindakan proaktif perlu diambil mulai sekarang bagi meredakan keadaan kerana dibimbangi boleh mengakibatkan kesan yang lebih besar dan sukar untuk ditangani.