GTA sukar beri impak, dianggotai parti kurang popular

Iklan
Dr Mahathir melancarkan Gerakan Tanah Air (GTA) yang menggabungkan beberapa parti minoriti. (Gambar kecil: Khairul Anuar)

ALOR SETAR - Gerakan Tanah Air (GTA) yang menggabungkan beberapa parti minoriti dilihat sukar memberi impak besar kepada perubahan negara.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, situasi itu mungkin berbeza sekiranya gagasan tersebut mengambil keputusan untuk bergabung dengan gagasan sedia ada seperti Perikatan Nasional (PN) yang kini dilihat sebagai parti dominan Melayu selepas UMNO-BN.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia bukan sekadar andaian secara relatif sebaliknya rumusan berkenaan dicapai berdasarkan kepada realiti yang berlaku pada beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

"Gabungan GTA kalangan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) juga merupakan parti yang kurang popular dan tidak dikenali umum.

Iklan

"Ini ditambah pula dengan usia Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang masih terlalu muda dan kecil pengaruhnya yang mana dalam PRN Johor baru-baru ini, kita dapat lihat buktinya apabila semua calon hilang deposit begitu sahaja,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan GTA pada Khamis, terdiri daripada parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), profesional dan ahli perseorangan.

Iklan

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja GTA mengumumkan gabungan itu akan mempertaruhkan calonnya di 120 kerusi Parlimen pada PRU15 bagi menentang UMNO dan kesemua kerusi tersebut diletakkan di kawasan majoriti penduduk Melayu di Semenanjung Malaysia.

Dalam pada itu, Khairul Anuar yang juga Ketua Bahagian Bersatu Padang Serai berkata, pada pandangan umum, Pejuang masih lemah dan tidak berwibawa untuk mengetuai gabungan GTA dalam menarik sokongan pengundi Melayu.

"Persepsi awal pengundi dalam konteks PRN Johor menyaksikan Pejuang dilihat kurang diberi perhatian kerana perjuangan yang sama dengan parti lain walaupun diketuai oleh seorang negarawan.

"Sebagai seorang negarawan ulung, Dr Mahathir harus faham masalah peribadi perlu diketepikan, utama matlamat terhadap rakyat dan negara,” katanya lagi.

Justeru, katanya, Dr Mahathir perlu bermuhasabah dan melihat kepada nilai positif sebagai negarawan yang 'ultra malay' dan beliau tentunya menyedari hakikat bahawa tindakannya itu sebenarnya hanya memecahbelahkan orang Melayu, bukan menyatukan bawah satu rumpun perjuangan.

"Tidak ada dosa oleh parti lama (Bersatu) terhadap beliau kecuali tempias akibat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri ketika itu yang menyebabkan kami semua dilabel pengkhianat,” ujarnya lagi.

Khairul Anuar bagaimanapun menyambut baik hasrat negarawan itu mahu menubuhkan gabungan parti baharu, biarpun matlamat GTA adalah serupa dengan gabungan PN yang menentang rasuah dan salah guna kuasa khususnya kalangan pimpinan UMNO.