SKM digesa siasat koperasi DBKL culas kendali wang caruman ahli

Iklan
Husham menunjukkan dokumen mengandungi kronologi kes tuntutan wang simpanan hasil carumannya kepada pemberita di Surau Al-Aula Perumahan Sri Labuan, Bandar Tun Razak pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) digesa untuk menyiasat Koperasi Pegawai-Pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Berhad tentang ketirisan dalam pengendalian wang caruman ahli-ahlinya yang didakwa sukar dituntut.

Salah seorang ahli koperasi terbabit, Husham Hassan, 61, berkata, lebih 1,000 orang ahli yang mencarum di bawah koperasi terbabit, namun tidak boleh menuntut semula bayaran balik wang simpanan dan faedah mereka mencecah hampir RM7 juta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, faedah tersebut meliputi lima kategori iaitu pesara wajib ahli daripada DBKL; ahli yang berhenti daripada koperasi pegawai DBKL; bayaran tuntutan tabung khairat kematian dan persaraan anggota; bayaran khairat kematian serta bayaran anggota yang meninggal dunia.

Husham ketika ditemui pemberita turut mendakwa pihak berkenaan didapati culas dan mungkin berlaku ketirisan dalam membuat pembayaran tuntutan kepada pencarum yang sudah pencen termasuk mereka yang telah meninggal dunia.

Iklan

"Saya nak pertikai kepada SKM, mereka patut siasat dan ambil tahu perjalanan koperasi ini sebab ada buku laporan. Tapi buku laporan tidak dikemukakan pada SKM sejak (2017-2018), (2018-2019) hingga sekarang. Maknanya lima kali tiada Mesyuarat Agung Tahunan.

"Saya nak pihak SKM bertanggungjawab dalam hal ini. Walaupun ada akta tapi mereka yang menguruskan dan membimbing," katanya dalam satu sidang akhbar di perkarangan Surau Al-Aula Perumahan Sri Labuan, Bandar Tun Razak pada Sabtu.

Iklan

Dalam pada itu, Husham yang mencarum di bawah koperasi terbabit sejak 1982 itu meluahkan kekesalan apabila tidak dapat membuat tuntutan wang simpanan selepas bersara pada 2019.

Ujarnya, walaupun permohonan telah dibuat kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur sejak 2019 untuk menuntut wang tersebut, namun tiada respon yang diberikan oleh pihak terbabit.

"Hampir 38 tahun saya mencarum. Ingat bila dah pencen, adalah lebihan duit simpanan di usia tua. Tapi bila saya cuba buat tuntutan, macam-macam masalah.

"Saya telah buat permohonan ini dekat dua tahun dua bulan. Semua jabatan saya sudah pergi termasuklah jumpa Datuk Bandar untuk minta ihsan tapi tak dapat, tiada jawab.

"Sekarang kami buat keputusan untuk serahkan hal ini kepada pihak peguam untuk menyiasat kerana bimbang ada berlaku ketirisan atau salah guna kuasa dalam wang koperasi kami," katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili mereka, T Harpal Singh berkata, satu surat tuntutan akan dihantar kepada koperasi dan juga ahli-ahlinya untuk mengetahui punca sebenar masalah dan mengeluarkan maklumat lanjut dalam masa 14 hari.

Beliau berkata, satu tribunal akan dibentuk bagi mengenal pasti punca penganjuran AGM sejak 2018 hingga 2022 tidak dilakukan dan mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara terbabit selain menyiasat dakwaan akaun tidak diaudit.

"SKM patut mengambil tanggungjawab untuk memastikan semua koperasi-koperasi ini mengadakan AGM dan melaku audit tahunan mereka. Jadi kalau tiada AGM dibuat, ia satu langkah yang tidak sah.

"Jadi tribunal boleh membubarkan koperasi, ikut perundangan. Tapi pada peringkat ini, ia terlalu awal untuk kami komen. Jadi kita perlu melihat dengan lebih terperinci perkara ini sebelum tindakan boleh diambil," jelasnya.