Kian Meng-Pei Jing mara ke separuh akhir

Iklan
Kian Meng-Pei Jing mara ke separuh akhir badminton Sukan Komanwel Birmingham 2022. -Foto FB BAM

PASANGAN beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengesahkan slot ke separuh akhir acara badminton individu Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila menewaskan pasangan tuan rumah, Callulm Heeming-Jessica Pugh 22-20, 21-11 di Pusat Pameran Nasional (NEC), Birmingham pada Jumaat.

Pasangan ranking ke-11 dunia itu bagaimanapun menerima tentangan sengit daripada pasangan tuan rumah pada set pertama.

Iklan
Iklan

Kedua-dua pasangan dilihat saling berkejaran mata, namun Kian Meng-Pei Jing dilihat menggunakan segala pengalaman yang ada untuk memenangi set pertama.

Set kedua turut menyaksikan Kian Meng-Pei Jing menerima tentangan pada awal permainan daripada pasangan Heeming-Pugh.

Iklan

Bagaimanapun, pengalaman nyata memisahkan kedua-kedua pasangan berkenaan apabila Kian Meng-Pei Jing dilihat semakin memperkemaskan permainan untuk memenangi set kedua dan sekali gus mara ke separuh akhir.

Jin Wei terkandas di suku akhir

Jin Wei terkandas di suku akhir.

Iklan

Sementara itu perjuangan pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei terhenti di suku akhir apabila tewas 21-19, 14-21, 18-21 kepada pemain ranking ketujuh dunia dari India, Pursarla Sindhu.

Kegagalan itu sekali gus mengulangi kekalahan Jin Wei kepada lawan sama pada aksi final berpasukan campuran sebelum ini.

Bagaimanapun pada pertemuan kali ini, Jin Wei dilihat beraksi baik dengan memberikan tentangan sengit kepada Pusarla.

Malah, Jin Wei turut memenangi set pertama dan sekali gus dilihat berpeluang untuk mencatatkan kejutan menewaskan Pusarla kali ini.

Bagaimanapun, Pusarla dilihat memanfaatkan segala pengalaman yang dimilikinya untuk memerangkap Jin Wei dan memenangi dua set seterusnya untuk mara ke separuh akhir.