Lelaki tak mengaku angkut rokok seludup

Iklan
Tertuduh, Chai Mee Chee, 37, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengangkut rokok seludup dengan van ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas tuduhan mengangkut rokok seludup bernilai keseluruhan RM46,400 dengan sebuah van.

Bagaimanapun, tertuduh Chai Mee Chee, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dibacakan jurubahasa mahkamah.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengangkut barang larangan import iaitu 58 kotak x 50 karton x 10 paket x 20 batang rokok jenama SAAT yang ditaksirkan bernilai RM46,400 menggunakan sebuah van dengan niat mengelak larangan yang dikenakan terhadap barang-barang yang dilarang pengimportannya di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) (Pindaan) 2017.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) Akta yang sama itu ketika ditahan anggota Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di hadapan Pondok Polis Tepoh, Kuala Nerus, kira-kira jam 3.30 pagi, pada 24 Mac lalu.

Iklan

Dengan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan itu iaitu RM464,000 atau RM100,000 yang mana nilai lebih tinggi dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan iaitu RM928,000 atau RM500,000 yang mana nilai lebih tinggi atau boleh dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada 6 bulan dan tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) Akta Kastam 1967.

Manakala bagi peruntukan Lucut Hak di bawah Seksyen 127(1) Akta Kastam 1967, kesemua rokok dan van milik tertuduh, boleh dilucutkan kepada Jabatan Kastam untuk dilupuskan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Terengganu dihadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Sejurus pengakuan tidak salah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 5 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM28,000 dengan seorang penjamin.