PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel menyifatkan masih banyak yang perlu diperbaiki skuad kendaliannya itu biarpun melakar kemenangan 1-0 ke atas Everton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Goodison Park pada Ahad.
Menurut Tuchel, di sebalik kemenangan berkenaan skuad The Blues itu sebenarnya dilihat bergelut di sepanjang perlawanan terutamanya bagi melepasi benteng pertahanan lawan.
Bagaimanapun katanya, kemenangan berkenaan nyata melegakan kerana sudah sekian lama tidak mencatatkan keputusan sedemikian di gelanggang lawan.
"Kita pernah bertemu beberapa kali sebelum ini dan ternyata kami agak bergelut untuk mencatatkan kemenangan.
"Tetapi kali ini, saya berasa gembira hampir di keseluruhan perlawanan dan biarpun masih ada beberapa perkara yang perlu ‘diperbaiki’, kami mencatatkan kemenangan di sini (Goodison Park).
"Yang penting, menang tetap menang dan tahniah kepada pemain atas kejayaan meraih tiga mata yang cukup berharga kali ini,” katanya.
Untuk rekod, gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Jorginho yang menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Sementara itu, Tuchel turut mempersoalkan tindakan pengadil perlawanan yang dilihat memberikan masa kecederaan sebanyak tujuh minit pada babak pertama dan 10 minit pada separuh masa kedua perlawanan berkenaan.
Selain terlalu lama, Tuchel berkata, perkara berkenaan turut mempengaruhi corak permainan kedua-dua pasukan.
"Apa perlunya masa kecederaan dilanjutkan seperti ini? Ini perkara yang saya tidak faham dan diharapkan ia tidak berulang lagi selepas ini,” katanya.